Acryl Sani Nasihat Anggota Jaga Integriti, Maruah PDRM

KUALA LUMPUR: Setiap pegawai dan anggota polis diminta menjaga institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menjadikan isu keselamatan rakyat sebagai keutamaan dalam khidmat dan tanggungjawab mereka.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani juga mengingatkan seluruh anggota PDRM untuk melakukan tugasan dengan sepenuh jiwa, dan bukan semata-mata untuk mendapat gaji pada penghujung bulan.

Acryl Sani bakal menamatkan perkhidmatannya pada 7 Julai ini.

“Para pegawai dan anggota, rakan-rakan sejawat sahabat andai untuk sentiasa ingati jangan sesekali ambil pasukan ini never ever take for granted, anda harus menjaga pasukan keramat ini supaya kekal relevan sepanjang masa dalam menjamin ketenteraman dan keharmonian dalam negara.

“Tidak ada tempat untuk orang awam mengadu hal jika dilanda masalah, takkan mereka pergi balai raya atau bomba jika ada masalah, akan gerak menuju balai polis juga.

“Hampir 800 buah balai polis terdapat seluruh negara untuk kita memberi khidmat dan ambillah ia sebagai bukan sahaja dapat imbalan gaji bahkan memberi manfaat kepada orang lain dengan membantu mengatasi masalah rakyat,” katanya semasa berucap di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian di Majlis Serah Terima Tugas dan Jawatan Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara yang disaksikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim hari ini.

Acryl Sani menyerahkan tugasnya kepada Tan Sri Razarudin Husain@Abdul Rashid dan istiadat Serah Terima Tugas antara Razarudin kepada Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay yang diangkat sebagai Timbalan Ketua Polis Negara baharu disusuli watikah pelantikan serta tongkat kuasa masing-masing.

Tambah Acryl Sani, PDRM sentiasa diberi ruang dan peluang oleh rakyat untuk menambahbaik perkhidmatannya dari semasa ke semasa supaya sentiasa berada pada tahap tinggi dan diyakini rakyat jelata.

“Maka saya ingin tegaskan di sini tahap kesetiaan dan ketaatan pegawai dan anggota PDRM kepada kerajaan dan pasukan akan kekal dijaga sampai bila bila masa.

“Justeru saya sangat lapang dada dan dengan tulus ikhlas meninggalkan PDRM dengan kepercayaan bahawa rakan-rakan semua akan kekal mantap melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya.

‘Ingalah logo, kita slogan kita iaitu ‘sedia berkhidmat’..kita sentiasa rapat dengan masyarakat selaras dengan tema polis dan masyarakat berpisah tiada dan sesungguhnya kita sebahagian daripada anggota masyarakat.

“Sentiasa berkhidmat dengan penuh semangat dan jitu untuk selesaikan masalah rakyat yang belum diselesaikan lagi,” pesannya.

BBerkaitan

Latest articles