Acara Air Ala Songkran Undang Risiko Nilai, Akhlak, Kata UMNO

KUALA LUMPUR: Penganjuran Festival Muzikal Air yang menyerupai sambutan Songkran tidak wajar dianggap sebagai acara hiburan biasa atau tarikan pelancongan semata-mata, sebaliknya perlu dinilai dari sudut nilai, akhlak dan jati diri negara.

Naib Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Ridzuan Zamry menegaskan bahawa pesta air bukan sebahagian daripada budaya masyarakat Malaysia, lebih-lebih lagi apabila ia dianjurkan secara terbuka dengan elemen pergaulan bebas dan hiburan melampaui batas.

Menurut beliau, Songkran berakar daripada latar budaya dan kepercayaan luar yang tidak selari dengan nilai Islam serta adab masyarakat tempatan, sedangkan Islam merupakan agama Persekutuan.

“Kita tidak menolak kepelbagaian budaya, namun kebebasan berbudaya tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan sensitiviti agama dan norma masyarakat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dilaporkan merancang beberapa acara di sekitar Bukit Bintang sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, termasuk sambutan Hari Pekerja Pelancongan dan Festival Muzikal Air.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing memaklumkan bahawa kedua-dua acara tersebut dijadualkan berlangsung serentak selama tiga hari bermula 1 Mei dan dijangka menarik kehadiran pelancong tempatan serta antarabangsa, dengan beberapa jalan utama di kawasan Bukit Bintang ditutup sementara bagi melancarkan penganjuran.

Mengulas lanjut, Ridzuan menegaskan bahawa sebarang usaha menormalisasikan budaya luar yang bercanggah dengan akidah dan nilai murni tidak wajar diberi ruang, khususnya apabila melibatkan umat Islam.

“Malaysia ialah negara majmuk, namun keharmonian hanya dapat dikekalkan apabila setiap pihak menghormati batas agama dan nilai masyarakat majoriti. Jika tidak dikawal, ia boleh mencetuskan kekeliruan nilai, masalah moral dan ketegangan sosial,” katanya.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa mengambil tanggungjawab penuh dengan menetapkan garis panduan yang jelas, kawalan ketat serta penguatkuasaan berkesan terhadap penganjuran acara seumpama itu.

“Sebarang program yang boleh mencabar nilai Islam, mencemar akhlak atau mengganggu keharmonian masyarakat tidak seharusnya diberikan kelulusan.

“Mempertahankan Islam dan adab masyarakat adalah amanah Perlembagaan dan tuntutan rakyat. Ketegasan hari ini penting demi melindungi generasi akan datang,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles