KUALA LUMPUR: Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan pecah amanah dan menyalahgunakan wang berjumlah RM145.5 juta berkaitan projek pembinaan Lebuh Raya Putrajaya ke KLIA (MEX II).
Mengikut pertuduhan, Abu Sahid didakwa antara 12 Januari hingga 13 Jun 2018 secara tidak jujur melakukan pecah amanah terhadap wang milik Maju Holdings Sdn Bhd, yang dibayar ke dalam akaun escrow Maybank Islamic Berhad.
Beliau dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan, dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Ahmad Akram Gharib, memohon supaya kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana berkaitan dengan pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapi Abu Sahid di mahkamah sama sebelum ini.
Permohonan itu dibenarkan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin, yang turut memutuskan agar jaminan terdahulu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 8 September lalu diguna pakai.
Dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, bekas Pengarah Mex II Sdn Bhd, Datuk Yap Wee Leong, berdepan 18 pertuduhan melibatkan tuntutan palsu dan pengubahan wang haram.
Sembilan pertuduhan melibatkan dokumen tuntutan kerja-kerja projek bernilai lebih RM220 juta antara 9 November 2017 hingga 26 Jun 2018 yang didakwa mengandungi butiran palsu, termasuk kerja-kerja pembersihan tapak, tanah, geoteknikal dan perparitan yang tidak pernah dilakukan.
Selain itu, Yap turut didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001, selepas didakwa memindahkan lebih RM380 juta daripada akaun Golden Base Construction Sdn Bhd ke akaun Villa Hubs Sdn Bhd antara Jun 2017 hingga Ogos 2018.
Kes Yap turut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan jaminan sama seperti ditetapkan sebelum ini.
Kedua-dua kes akan disebut semula di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 3 November ini.