KUALA LUMPUR: Sebelum ini berita melaporkan bahawa Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador akan menjadi calon Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) di bawah tiket Gerakan Tanah Air (GTA).
Bagaimanapun kelibat Abdul Hamid tidak kelihatan di sidang media pengumuman calon gabungan itu, di Pusat Konvensyen Bangi, hari ini.
Pengerusi GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Abdul Hamid memberitahu beliau belum bersedia untuk menjadi calon.
“Hamid Bador tidak jadi calon GTA,” katanya.
Sebelum ini Abdul Hamid dikhabarkan bakal dicalonkan di Parlimen Rembau bagi menentang Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum ini berkata, Abdul Hamid akan menjadi “giant killer” jika bertanding dalam pilihan raya.
Begitu juga Timbalan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Mohamad Jani Ismail, dilaporkan mengesahkan nama Abdul Hamid termasuk dalam senarai yang dicadangkan sebagai calon gabungan itu untuk bertanding di Parlimen Rembau.