KUALA LUMPUR: Meskipun Datuk Seri Najib Razak sedang menjalani hukuman penjara pada ketika ini, namun ia bukan tiket mudah untuk pemimpin-pemimpin pembangkang mengkritik bekas perdana menteri itu.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang
berkata persoalan dan kritikan yang dibangkitkan oleh PH seolah-olah mereka lupa dengan layanan yang diberikan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar semasa menjalani hukuman penjara sebelum ini.
“Para pemimpin PH pula hangat mempertikaikan layanan terhadap Datuk Seri Najib yang telah dipenjarakan, seakan mereka melupakan bagaimana layanan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga pernah dipenjarakan?
“Keadaan ini menandakan politik yang tidak matang atau Melayu mudah lupa, namun bukan semua Melayu,” kata Abdul Hadi dalam kenyataan.
Menurut Abdul Hadi, Islam yang bertamadun telah ditunjukkan oleh al-Quran dan teladan daripada Rasulullah SAW yang diwahyukan supaya berpolitik secara matang.
Pada masa yang sama tegas beliau, diperintahkan agar berlaku adil dan rahmat walaupun kepada mereka yang zalim terhadapnya apabila menjatuhkan hukuman jika dibuktikan bersalah atau memaafkan sekiranya mempunyai alasannya.
“Hukuman dalam Islam bukan dengan dendam kesumat, sehinggakan bertindak melampaui batas. Sekiranya melampaui batas, maka seseorang itu berdosa dan akan dihukum oleh Allah SWT pada Hari Kiamat.
“Inilah ciri-ciri yang tiada dalam undang-undang ciptaan manusia.
“Sebenarnya, banyak lagi contoh lain yang ditunjukkan oleh Islam telah diambil oleh tamadun Barat, termasuklah dalam Konvensyen Geneva yang terkenal kini dalam menguruskan krisis antarabangsa,” kata Abdul Hadi.
Sebelum ini Jabatan Penjara Malaysia mengesahkan Najib menerima rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) selepas beberapa pihak mendedahkan bekas Perdana Menteri itu keluar daripada penjara.
Bagaimanapun beberapa pihak mempertikaikan mengapa Najib menerima keistimewaan tersebut sedangkan setiap banduan seharusnya mendapat layanan yang sama.