KUALA LUMPUR: Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan parti itu akan menerajui Perikatan Nasional (PN) susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi berkuat kuasa semalam.
Beliau berkata mesyuarat mengenai calon pengerusi PN baharu akan berlangsung minggu depan yang dijangka turut dihadiri pemimpin Bersatu.
“Mesyuarat itu nanti akan bersama-sama Bersatu. (Pemimpin) yang letak jawatan itu atas dia (sama ada) hendak datang (mesyuarat) atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, hari ini.
Abdul Hadi berkata PAS mempunyai ramai calon dalam kalangan agamawan mahupun teknokrat namun Ahli Parlimen Marang itu masih menutup mulut mengenai identiti calon yang akan dikemukakan.
Ditanya kemungkinan beliau akan menerajui PN seperti cadangan beberapa pihak, Abdul Hadi sekadar menjawab dirinya dalam keuzuran. – BERNAMA










