Abdul Hadi, PAS Tak Tahu Bersyukur?

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO menempelak PAS selepas Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyalahkan pengundi kerana tidak memilih parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Menurut Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri kenyataan Abdul Hadi itu disifatkan tidak wajar selain memperlihatkan dirinya sendiri jahil agama.

Beliau mengingatkan Abdul Hadi harus memahami umat Islam ketika terpedaya dengan janji manis yang tidak realistik Pakatan harapan (PH) bukan kerana mereka tidak mengenali Islam sepenuhnya.

Kata beliau, pada PRU-14, bukan sahaja Pas malah Barisan Nasional (BN) yang terbukti berpengalaman berjaya membangunkan negara dan menjalankan dasar sejajar Islam pun ‘dikaramkan’ dengan dakyah fitnah.

“Namun, selepas Pas menjadi kerajaan, perubahan besar dapat dilihat pada pimpinan parti itu ialah tidak lagi kedengaran RUU355, jauh sekali hudud yang dilaungkannya selama ini, walaupun Pas mengemudi Menteri Agama Islam.

“Sebaliknya, Abdul Hadi lebih berbunyi mengenai kuasa memerintah secara solo dan “tumpang menumpang”, seolah tidak bersyukur pada sedikit kuasa biarpun menyedari parti itu hanya memiliki 18 kerusi di Dewan Rakyat,” katanya.

Malah dalam satu kenyataan terbarunya, Abdul Hadi memberitahu partinya sedia untuk bersendirian sebagai kerajaan di Kedah pada PRU-15.

Syed Mohd Johan Rizal berkata kenyataan itu boleh ditafsirkan bukan sahaja menghina UMNO tetapi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri yaakob.

“Sedangkan hakikatnya, Perdana Menteri UMNO yang melantik semua ahli Parlimen Pas sebagai menteri termasuk melantiknya Duta ke Timur Tengah tanpa perlu berada di negara Arab dan bergaji penuh.

“Sekiranya dibahaskan, Pas juga boleh dianggap menumpang jawatan Menteri Besar di Kedah dan mengharapkan sokongan daripada lapan ADUN bukan Pas termasuk dua dari UMNO.

“Sepatutnya Pas bersyukur kerana diberi sedikit kuasa di peringkat pusat dan mengemudi kerajaan negeri Kedah serta menghormati erti perkongsian kuasa sebagaimana BN sebelum ini yang harmoni bermuafakat menghormati perkongsian kuasa bersama parti komponennya,” katanya.

Mengenai kenyataan Abdul Hadi yang Pas hendak memerintah Kedah bersendirian, Syed Mohd Johanl berkata, ia menunjukan sikap ego, tidak ikhlas sekali gus menamatkan teka-teki mengenai status Muafakat Nasional (MN).

Kini, katanya, telah terang lagi bersuluh melalui mulut dan lidah Presiden Pas sendiri mengambil ketetapan mahu bergerak solo di Kedah dan menguburkan MN.

“Sebagai parti yang sudah masak dengan sikap Pas, saya ingin berpesan kepada parti Bersatu dan Gerakan bahawa koalisi mereka bersama Pas dalam PN juga mungkin bakal berakhir dan ianya akan bermula di Kedah,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles