BANGI: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya wujud gerakan untuk menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Perikatan Nasional (PN), sebaliknya menegaskan gabungan itu kekal bersatu dan kukuh.
Menurut beliau, pemukiman tertutup Pas yang berlangsung sejak Jumaat lalu hanya memfokuskan usaha memperkukuh PN serta memperkasakan agenda perpaduan nasional, tanpa sebarang perbincangan lain yang bersifat sensitif.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program pemukiman berkenaan di sini hari ini, sambil menegaskan dakwaan yang mengaitkan Pas dengan usaha menyingkirkan Muhyiddin adalah tidak berasas.
Kenyataan itu dibuat susulan pendedahan bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad yang mendakwa kemelut dalaman PN boleh reda sekiranya Muhyiddin berundur sebagai pengerusi gabungan berkenaan, selain menyentuh peranan Pas dan kemungkinan Datuk Seri Hamzah Zainudin menerajui Bersatu.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut menolak dakwaan berkenaan dengan menegaskan PN sebagai gabungan empat parti masih utuh dan tiada sebarang usaha untuk mengenepikan mana-mana pihak.
Beliau berkata, PN juga kekal mentadbir empat negeri termasuk Perlis tanpa sebarang masalah dalaman di peringkat negeri setakat ini.
Mengulas persiapan parti menghadapi landskap politik semasa, Takiyuddin berkata Pas melalui Biro Pemerkasaan Parti sedang merangka program tahunan sebagai persediaan berterusan termasuk kemungkinan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tiada keputusan muktamad atau perbincangan strategik kritikal dibuat dalam pemukiman tersebut, sebaliknya segala perancangan strategik pilihan raya akan dibincangkan di peringkat tertinggi kepimpinan parti.










