Abdul Hadi Dedah Projek ‘Tak Ikut Peraturan’ Cetus Tekanan Hingga MB Perlis Letak Jawatan

MARANG: Isu melibatkan beberapa projek berskala besar yang didakwa tidak mematuhi peraturan dikenal pasti sebagai antara faktor utama tercetusnya krisis politik di Perlis sehingga membawa kepada peletakan jawatan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata tekanan terhadap Mohd Shukri semakin memuncak susulan kewujudan projek-projek yang didakwa bermasalah, termasuk unsur penyelewengan dan rasuah, sekali gus menyukarkan beliau untuk meneruskan pentadbiran mengikut prinsip yang dipegang.

“Projek terlalu banyak, tetapi tidak ikut peraturan. Itu satu kesalahan. Di sebaliknya ada rasuah, ada pelbagai perkara lain. Dia tak mampu ikut. Saya tak perlu sebut siapa,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

Menurut Abdul Hadi, keadaan tersebut menyebabkan Pas terpaksa mengambil tindakan selepas tekanan yang dihadapi semakin kuat.

Namun, beliau tidak memperincikan projek besar yang dimaksudkan atau pihak yang terbabit dalam dakwaan berkenaan.

Terdahulu, suasana politik di Perlis bergolak apabila lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), terdiri daripada tiga wakil Pas dan lima Bersatu menandatangani Akuan Bersumpah (SD) bagi menarik balik sokongan terhadap Mohd Shukri sebagai Menteri Besar.

Pas semalam mengumumkan keahlian tiga ADUNnya digugurkan serta-merta, membabitkan Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).

Susulan keputusan itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan, mengisytiharkan kekosongan luar jangka di ketiga-tiga kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi menegaskan peletakan jawatan Mohd Shukri bukan berpunca daripada kegagalan pentadbiran atau sikap zalim, sebaliknya disebabkan beliau menjadi mangsa keadaan.

“Dia menteri besar yang turun ke medan dan masih mendapat sokongan rakyat. Tetapi dia sendiri tidak mahu meneruskan jawatan itu. Dia dizalimi, bukan dia yang zalim,” katanya, sambil menambah bahawa Islam mengajar doa orang yang dizalimi akan dimakbulkan.

BBerkaitan

Latest articles