Abdul Hadi Akui Beliau Penggerak Langkah Sheraton, Calonkan Muhyiddin Jadi PM

KUALA LUMPUR: Langkah Sheraton, yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020 merupakan pelan yang digerakkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Beliau mengakui tindakan sedemikian terpaksa diambil selepas parti pemerintah yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad pada ketika itu dilihat berusaha menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu.

Ujar Ahli Parlimen Marang itu lagi, langkah itu dibuat selepas himpunan besar-besaran di Kuala Lumpur menghalang ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (ICERD).

“…selepas Presiden Bersatu (Muhyiddin Yassin) bersetuju, diadakan pula rundingan dengan Umno,

“Hasil persetujuan itu maka digerakkan langkah di mana Muhyiddin mengumumkan keluar daripada PH.

“Saya mencadangkan presiden Bersatu sebagai calon perdana menteri baharu,” lapor Harakahdaily memetik ucapan Hadi pada sebuah majlis di Terengganu semalam.

Abdul Hadi berkata, Umno turut bersetuju ketika itu sehingga muncul kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi menggantikan PH.

“Kewujudan kerajaan PN bukan secara tebuk atap atau pintu belakang. Ini kerana pelantikan Muhyiddin mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Pada penghujung Februari 2020, beberapa Ahli Parlimen PKR yang diketuai oleh Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali bergabung dengan Bersatu, Barisan Nasional dan PAS merencana Langkah Sheraton bagi menumbangkan kerajaan PH yang baru berkuasa selama 22 bulan.

Kata Abdul Hadi lagi, Umno mahu PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu selepas parti itu mendapat jawatan perdana menteri menggantikan Muhyiddin.

Beliau mengingatkan rakyat supaya memilih pemimpin yang mampu mentadbir negara berlandaskan cara Islam.

“Jangan pilih pemimpin yang menabur duit dan membuat pelbagai janji,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles