KUALA LUMPUR: Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengambil pendirian senada dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu PAS kafir.
Mohamad, yang juga bekas pemimpin nombor dua PAS suatu ketika dahulu menyindir Abdul Hadi mempunyai masalah dalaman atau pemikiran.
Bahkan beliau menambah, apa saja kenyataan dikeluarkan Abdul Hadi tidak perlu diulang kerana ia akan “berubah setiap minggu”.
“Saya pun setuju dengan jawapan (Dr) Mahathir. Dulu dia (Hadi) kata Umno tu kafir, sekarang dia berkawan dengan Umno, maka dia pun kafir juga.
“Tak perlu kita ulang kerana presiden PAS ini, (pandangan) dia akan berubah setiap minggu. Minggu depan kita tak tahu apa pandangan dia. Saya rasa, dia hadapi masalah dalaman (pemikiran),” katanya pada sidang media Konvensyen Amanah Nasional.
Mohamad berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tulisan Abdul Hadi dalam catatan Minda Presiden PAS baru-baru ini, apabila menegaskan, partinya tidak akan membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk menerusi pendekatan khemah besar dalam pilihan raya umum.
Pendirian itu diambil Abdul Hadi kerana mendakwa ramai dalam kalangan pimpinan PH tidak beriman dan tidak bermoral.
Menurut Ahli Parlimen Marang itu lagi, PH ketika menghadapi PRU14 pada 2018 juga memperlihatkan parti gabungan pembangkang itu secara terbuka mengumpulkan ‘kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah’.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, beliau bersimpati dengan Hadi dan tidak mahu memanjangkan isu tersebut.