Abang Jo Yakin Rakyat Sarawak Bijak Menilai Pencapaian GPS

 

KUCHING: Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Tan Sri Abang Johari Abang Openg percaya rakyat Sarawak menikmati pelbagai kemajuan sepanjang di bawah pentadbiran kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Katanya lagi tawaran baharu kepada rakyat negeri ini akan dibuat melalui manifesto yang bakal diumumkan Rabu ini yang merupakan kesinambungan kepada manisfesto Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016.

“Setakat ini apa yang telah kita janjikan pada 2016 telah kita tunaikan.

“Walaupun ada pihak mengatakan manifesto ini bukan kitab suci tetapi bagi kita ia adalah satu perjanjian yang harus kita laksanakan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong, hari ini.

Ini merupakan kali pertama Abang Johari bertanding di DUN gedong.

Sebelum ini beliau berjaya mempertahankan DUN Satok selama lapan penggal berturut-turut.

Dalam PRN Sarawak 18 Disember ini, Abang Johari bakal berdepan dengan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Mohamad Sofian Fariz Sarbini; calon Parti Amanah Negara (AMANAH), Kamal Bujang dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Tomson Ango di kerusi DUN Gedong.

Dalam pada itu beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang terbabit dalam proses penamaan calon termasuk pasukan keselamatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Ini termasuklah masyarakat awam yang telah sama-sama menunaikan tanggungjawab mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pada hari penamaan calon.

“Proses kempen akan bermula selepas ini dan saya harap semua yang bertanding akan mengikuti arahan daripada SPR dan juga pihak berkuasa berkaitan SOP,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles