BALIK PULAU: Ibu bapa tidak lagi boleh mengharapkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) RM200 disalurkan terus ke akaun bank apabila kerajaan menetapkan bantuan itu hanya akan diserahkan menerusi kehadiran mereka ke sekolah mulai Januari tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pendekatan baharu itu bertujuan meningkatkan penglibatan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak, selain memastikan bantuan berkenaan dimanfaatkan untuk membeli kelengkapan persekolahan.
Menurutnya, kehadiran ibu bapa ke sekolah juga membuka ruang kepada mereka mendapatkan maklumat secara langsung daripada guru mengenai prestasi akademik, tingkah laku dan perkembangan anak masing-masing.
Beliau berkata, tanggungjawab mendidik anak bukan terletak di bahu guru semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama dan komitmen ibu bapa.
“Dulu hantar kepada ibu bapa, masuk (akaun) bank. Saya tak bagi (selepas ini). Saya kata, kalau mahu, mesti pergi sekolah kerana kita nak ibu bapa juga penuhi tanggungjawab.
“Ibu bapa kena tahu anak mereka itu belajar atau tidak, nakal atau tidak, buli atau tidak, buat kerja sekolah atau tidak,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Program Yakin MADANI Peringkat Negeri Pulau Pinang di Kompleks Sukan Balik Pulau, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Anwar turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak menganggap kehadiran ke sekolah sebagai satu beban, memandangkan anak-anak menghabiskan antara enam hingga tujuh jam sehari bersama guru.
Pada masa sama, beliau menyeru murid supaya sentiasa menghormati ibu bapa dan guru yang memainkan peranan penting dalam membentuk ilmu serta keperibadian mereka.










