SEPANG: Mahkamah Majistret di sini menetapkan 23 Disember depan sebagai tarikh baharu pengurusan kes membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, yang didakwa mencederakan dua anggota polis.
Keputusan itu dibuat Majistret Khairatul Animah Jelani selepas pihak pembelaan memaklumkan semua dokumen berkaitan kes telah diterima daripada pihak pendakwaan pada prosiding hari ini.
Mahkamah turut membenarkan permohonan pembelaan untuk mengenakan perintah larangan bersuara (gag order) terhadap pihak yang terlibat bagi mengelakkan sebarang kenyataan subjudis atau prejudis sepanjang kes berlangsung.
Peguam bela, Datuk Rosal Azimin Ahmad berkata, larangan itu terpakai kepada pihak pembelaan, pendakwaan dan peguam pemerhati, manakala media masih dibenarkan membuat laporan berkaitan prosiding.
Katanya, langkah berkenaan penting bagi memastikan tiada kenyataan luar mahkamah yang boleh menjejaskan hak anak guamnya untuk mendapat perbicaraan adil.
Mohd Shuhaily sebelum ini mengaku tidak bersalah pada 21 Oktober lalu atas dua pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohammad Faiz Muhamad Saman, 40, dan Muhammad Ekmal Sofwan Dirman, 25.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa berlaku di berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), antara jam 1.27 tengah hari hingga 1.35 tengah hari pada 28 September lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tertuduh sebelum ini dibenarkan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.










