KUALA LUMPUR: Kesiapsiagaan sekolah dan keberkesanan sistem pendidikan perlu dipastikan terlebih dahulu sebelum Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan cadangan mewajibkan kanak-kanak berusia enam tahun memasuki Tahun Satu mulai 2029.
Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Anuar Ahmad berkata, perubahan usia kemasukan ke sekolah rendah daripada tujuh kepada enam tahun tidak seharusnya dilihat sebagai jalan pintas untuk mengatasi kelemahan kualiti pendidikan negara.
Sebaliknya, beliau mempersoalkan rasional perubahan itu sedangkan sistem pendidikan ketika ini masih berdepan kesukaran memastikan murid menguasai kemahiran asas walaupun memulakan persekolahan pada usia tujuh tahun.
Katanya, sekiranya sistem sedia ada masih belum mampu memenuhi keperluan pembelajaran murid berusia tujuh tahun, tiada jaminan pendekatan sama akan lebih berkesan terhadap kanak-kanak yang lebih muda.
“Kalau di usia tujuh tahun sekarang pun, sekolah masih bergelut untuk memastikan setiap murid menguasai kemahiran asas, apakah jaminan sistem yang sama akan lebih berjaya mendidik kanak-kanak berusia enam tahun?” katanya menerusi Facebook hari ini.
Beliau turut mengingatkan supaya kerajaan tidak sekadar menjadikan amalan negara maju yang memulakan persekolahan pada usia enam tahun sebagai alasan untuk mempercepatkan pelaksanaan dasar berkenaan.
Menurutnya, perbandingan itu perlu mengambil kira keseluruhan ekosistem pendidikan termasuk bilangan murid dalam kelas, kecukupan guru, kaedah pengajaran, kemudahan sekolah, silibus serta sokongan pembelajaran.
Anuar turut membangkitkan persoalan sama ada isu bilik darjah sesak, beban tugas guru dan kekurangan guru sekolah rendah sudah ditangani sebelum perubahan dasar itu dilaksanakan.
Justeru, beliau berpandangan KPM perlu terlebih dahulu menjalankan kajian keberkesanan terhadap kohort kemasukan 2027 dan 2028, khususnya membabitkan pencapaian akademik, perkembangan emosi, kemahiran sosial serta kesejahteraan kanak-kanak.
Beliau mempersoalkan tindakan menetapkan sasaran pelaksanaan wajib pada 2029 sedangkan keberkesanan pelaksanaan awal pada 2027 masih belum dapat dinilai.
“Mengapa sudah menyasarkan pelaksanaan wajib pada 2029 sedangkan keberkesanan pelaksanaan 2027 belum pun diketahui?
“Bukankah bukti kajian sepatutnya mendahului keputusan dasar, bukan sebaliknya?” katanya.
Mengulas lanjut, Anuar menegaskan beliau tidak menolak cadangan kanak-kanak berusia enam tahun memasuki Tahun Satu, sebaliknya mahu sebarang perubahan dasar pendidikan dibuat berdasarkan bukti kajian dan tahap kesiapsiagaan yang jelas.
Beliau turut mengingatkan KPM supaya mengambil iktibar daripada pelaksanaan beberapa dasar dan inisiatif pendidikan sebelum ini, termasuk Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) serta Dual Language Programme (DLP).
Katanya, reformasi pendidikan sepatutnya memberikan keutamaan kepada usaha meningkatkan mutu pengajaran dan persekitaran sekolah, bukannya sekadar mengubah struktur atau usia kemasukan murid.
“Kanak-kanak bukan bahan eksperimen dasar baharu pendidikan yang semborono. Saya hanya mahu kita lebih bersedia supaya anak-anak tidak jadi ‘tikus makmal’.
“Yang lebih penting bukan berapa awal anak-anak kita masuk sekolah, tetapi berapa baik mereka dididik dan berapa gembira anak-anak apabila berada di sekolah?” katanya.










