KUALA LUMPUR: Negara memerlukan nafas baharu menerusi reset politik bagi membolehkan rakyat menilai semula hala tuju pentadbiran negara dan menamatkan polemik politik yang berterusan sepanjang empat tahun Kerajaan Perpaduan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, sudah tiba masanya kerajaan mendapatkan mandat baharu daripada rakyat selepas empat tahun mentadbir negara.
Menurutnya, tempoh berkenaan sudah cukup matang untuk rakyat menilai perjalanan pentadbiran kerajaan serta menentukan hala tuju negara bagi penggal seterusnya.
“Negara perlukan nafas baharu. Kita perlukan reset politik supaya rakyat dapat menilai semula hala tuju negara dan segala polemik ini dapat ditamatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook sempena genap empat tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Razlan yang juga Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, purata tempoh antara Pilihan Raya Umum (PRU) di Malaysia adalah sekitar empat tahun dua bulan.
Justeru, katanya, tiada alasan untuk mana-mana pihak melabel Barisan Nasional (BN) sebagai tamak atau gila kuasa sekiranya isu pembaharuan mandat dibangkitkan.
Beliau turut menegaskan bahawa kestabilan kerajaan dan perkembangan ekonomi sepanjang tempoh berkenaan tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengetepikan prinsip demokrasi.
“Rakyat berhak mendapat pembelaan daripada kerajaan. Dalam empat tahun ini, ekonomi berkembang dan kerajaan kekal stabil. BN berada dalam semua saat dan ketika itu.
“Namun, dalam demokrasi, setiap mandat ada tempohnya. Sampai masanya, mandat itu perlu diperbaharui,” katanya.
Menurut Razlan, kuasa pemerintahan bukan milik individu atau mana-mana parti secara mutlak, sebaliknya perlu ditentukan oleh rakyat menerusi proses demokrasi.
“Sebagai negarawan, kita kena berani dan percaya kepada sistem demokrasi yang kita junjung bersama. Kita kena percaya kepada pilihan rakyat.
“Kuasa bukan milik individu dan bukan juga milik mutlak mana-mana parti. Sudah tiba masanya kita kembali kepada rakyat untuk mendapatkan mandat baharu,” katanya.










