KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memanfaatkan sepenuhnya tempoh setahun berbaki pentadbiran bagi mempercepat pelaksanaan reformasi, memperkukuh ekonomi dan memastikan hasil pembangunan benar-benar dirasai rakyat.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, empat tahun pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan pelbagai usaha dilaksanakan untuk membawa Malaysia ke arah lebih baik meskipun berdepan cabaran politik, ekonomi dan sosial.
Menurutnya, empat keutamaan menjadi asas pentadbiran kerajaan sepanjang tempoh berkenaan iaitu kestabilan politik, kemakmuran ekonomi, kebajikan rakyat serta tatakelola yang baik.
“Empat tahun kita membina asas. Dalam setahun berbaki, kita mesti bekerja lebih pantas agar rakyat segera merasai hasilnya.
“Keutamaan kita tetap rakyat dan masa depan Malaysia,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Majlis Setiausaha PH mengadakan mesyuarat berkala, yang berlangsung pada ulang tahun keempat Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10.
Saifuddin berkata, kestabilan politik dan perpaduan rakyat perlu terus dipelihara bagi memastikan agenda pembangunan negara dapat diteruskan.
Selain itu, kerajaan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi, menarik pelaburan, membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan daya saing negara.
Dalam aspek kebajikan, usaha membantu golongan memerlukan, meringankan beban kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat turut menjadi keutamaan.
Beliau berkata, agenda tatakelola baik pula merangkumi usaha memerangi rasuah, mengurangkan ketirisan serta memastikan pentadbiran kerajaan dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab.
Bagaimanapun, Saifuddin mengakui masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki selain harapan rakyat yang belum dipenuhi sepanjang empat tahun pentadbiran kerajaan.
“Kita menghargai pencapaian yang diraih sepanjang empat tahun ini. Pada masa sama, kita sedar masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki dan harapan rakyat yang belum dipenuhi.
“Kerajaan mesti terus mendengar teguran, memperbaiki kelemahan dan bekerja dengan lebih berkesan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, baki setahun pentadbiran perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan agenda reformasi dan pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan dan kesabaran, selain teguran serta kritikan yang membantu kerajaan memperbaiki pentadbiran.
“Amanah ini akan terus dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan rendah hati,” katanya.










