KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan Bojan Hodak sebagai Ketua Jurulatih baharu pasukan kebangsaan Harimau Malaya berkuat kuasa Selasa.
Pelantikan jurulatih kelahiran Zagreb, Croatia berusia 55 tahun itu dibuat berdasarkan pengalaman luasnya dalam arena bola sepak, khususnya di rantau Asia Tenggara, selain rekod kejayaan bersama beberapa kelab tempatan dan luar negara.
Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pemilihan Hodak dibuat selepas mengambil kira pengalaman, kemampuan serta pencapaian beliau sepanjang karier kejurulatihan.
Beliau berkata, pengalaman Hodak dalam bola sepak Malaysia dan Asia Tenggara menjadi kelebihan penting untuk memahami persekitaran, karakter serta potensi pemain tempatan.
“FAM percaya pengalaman luas Bojan Hodak dalam bola sepak Malaysia dan rantau Asia Tenggara merupakan satu kelebihan penting dalam memahami persekitaran, karakter serta potensi pemain tempatan.
“Rekod kejayaan beliau bersama beberapa kelab di Malaysia dan Indonesia turut memperlihatkan keupayaannya membentuk pasukan yang kompetitif serta mampu bersaing untuk mencapai kejayaan.
“Kami berharap pelantikan ini dapat memberikan hala tuju baharu kepada Harimau Malaya, selain memperkukuh persiapan pasukan dalam menghadapi cabaran dan kejohanan antarabangsa akan datang,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Hodak bukan nama asing dalam bola sepak tempatan apabila pernah membimbing beberapa kelab termasuk UPB-MyTeam, Kelantan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC.
Antara pencapaian terbesar beliau adalah ketika membimbing Kelantan meraih tiga kejuaraan utama pada 2012 iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Beliau turut membantu JDT muncul juara Liga Super 2014 sebelum mencipta sejarah bersama Kuala Lumpur City FC apabila menjuarai Piala Malaysia 2021 dan muncul naib juara Piala AFC 2022.
Di peringkat antarabangsa, Hodak pernah mengendalikan skuad Malaysia Bawah 19 Tahun dari 2017 hingga 2019 dan membantu pasukan itu menjuarai Kejuaraan Bawah 19 Tahun AFF 2018 di Surabaya, Indonesia.
Pengalaman kejurulatihannya turut merangkumi kelab Phnom Penh Crown di Kemboja dan PSM Makassar di Indonesia.
Terbaharu, beliau mengemudi kelab gergasi Indonesia, Persib Bandung dan berjaya meraih tiga kejuaraan liga sepanjang tempoh bersama pasukan berkenaan.
Sementara itu, FAM memaklumkan Tan Cheng Hoe yang sebelum ini dilantik sebagai Ketua Jurulatih Interim pada 25 Jun lalu akan menggalas tanggungjawab baharu sebagai Pengarah Pasukan Harimau Malaya.
Tan dilantik bagi menggantikan Peter Cklamovski yang menamatkan kontrak melalui persetujuan bersama FAM berkuat kuasa 16 Jun 2026.
FAM turut merakamkan penghargaan kepada Tan atas komitmen dan khidmat diberikan sepanjang mengendalikan skuad kebangsaan.
Dalam peranan baharu itu, Tan akan terus menyumbang pengalaman dan kepakarannya bagi membantu memperkukuh pengurusan serta hala tuju pembangunan pasukan-pasukan kebangsaan.










