Sekretariat Desak Polis Siasat Majlis Didakwa Babit Individu Menyamar Yamtuan Negeri Sembilan

SEREMBAN: Sekretariat Taat Setia Sokongan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat penganjuran satu majlis di Galeri Tuanku Jaafar pada 22 November lalu yang didakwa membabitkan individu menyamar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Pengerusinya, Datuk Seri Megat D Shariman Zaharudin berkata, majlis berkenaan yang tersebar di media sosial telah menimbulkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan rakyat, khususnya di Negeri Sembilan.

Menurutnya, pihak sekretariat memandang serius perkara itu kerana sebarang tindakan menyamar, mempergunakan atau mempersendakan institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tidak boleh diterima.

“Sebarang tindakan menyamar, mempergunakan, atau mempersendakan Institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah satu perbuatan yang amat biadab, tidak boleh diterima sama sekali, dan boleh menjejaskan kedaulatan serta maruah Institusi Diraja Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihak berkuasa perlu menyiasat penganjur, individu yang terbabit serta penyebaran video dan gambar majlis berkenaan selain mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang.

Sekretariat turut mempersoalkan kemungkinan wujud pihak tertentu yang menjadi dalang di sebalik penganjuran majlis berkenaan sehingga individu yang didakwa menyamar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan berani melakukan perbuatan tersebut.

“Persoalan ini wajar disiasat secara menyeluruh, tanpa sebarang perlindungan atau campur tangan,” katanya.

Dalam pada itu, Megat D Shariman turut menggesa Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad supaya mengambil tindakan segera terhadap laporan polis yang telah dibuat orang ramai berhubung isu berkenaan.

Beliau berkata, rakyat telah menjalankan tanggungjawab dengan membuat laporan dan kini menjadi tanggungjawab pihak polis untuk menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya demi mempertahankan kedaulatan institusi diraja dan ketenteraman awam.

Dalam kenyataan sama, sekretariat turut menyentuh kemelut politik negeri dengan mempersoalkan pendirian Barisan Nasional (BN) dan UMNO sama ada mahu terus bersengketa dengan pihak Istana atau menumpukan perhatian kepada pentadbiran kerajaan negeri.

“Pilihan ini perlu dijelaskan secara terang kepada rakyat, bukan lagi berselindung di sebalik kenyataan yang mengelirukan,” katanya.

Terdahulu, sekretariat mengambil maklum pemakluman aku janji Menteri Besar Negeri Sembilan pada 20 November lalu selepas menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Pada masa sama, orang ramai turut diseru supaya tidak terpedaya atau menyebarkan bahan yang belum disahkan serta sentiasa merujuk sumber rasmi Istana dan kerajaan negeri.

BBerkaitan

Latest articles