6.5 Tan Ayam Didakwa Diperdaya Sebagai Halal, Lima Individu Dihadapkan Ke Mahkamah

SHAH ALAM: Dakwaan memperdayakan pengguna berhubung status halal lebih 6.5 tan ayam membawa sebuah syarikat pembekalan ayam, dua pengarah, seorang pengurus dan seorang pekerjanya ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Kesemua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Bashiirah Dona Bijayid.

Syarikat Ayam Segar BM (M) Sdn Bhd diwakili pengarahnya, Zafirah Karim, 36, manakala tiga lagi individu ialah Tanjena Akter Mollah, 35, Hossain Saddam, 34, dan Abdul Rahim Arif Ali, 34.

Berdasarkan pertuduhan, syarikat itu didakwa membekalkan 6,555 kilogram (kg) ayam yang disembelih dan diproses dengan gambaran mengelirukan seolah-olah produk berkenaan memenuhi ketetapan halal serta selamat dimakan umat Islam.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Lot 35, Jalan Jurutera, Kampung Sri Aman Hilir, Puchong, pada jam 12.45 tengah malam, 30 Oktober lalu.

Jika sabit kesalahan, syarikat berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta.

Dua pengarah dan pengurusnya pula berdepan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Seorang pekerja syarikat, Abdul Rahim turut berdepan pertuduhan bersubahat melakukan kesalahan sama.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sophian Zakaria memohon mahkamah mengenakan syarat jaminan ketat memandangkan kes berkenaan menyentuh kepentingan awam, khususnya keselamatan dan status halal bekalan makanan yang digunakan masyarakat.

Pendakwaan turut memohon supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah serta mereka diwajibkan melapor diri setiap bulan di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Mahkamah kemudian membenarkan Zafirah dan Abdul Rahim diikat jamin RM35,000 setiap seorang dengan dua penjamin tempatan.

Kedua-duanya turut diperintahkan menyerahkan pasport, melapor diri di pejabat JAIS sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, dua tertuduh warga Bangladesh, Tanjena dan Hossain tidak diberikan jaminan.

Mahkamah menetapkan 26 Januari 2027 untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen berkaitan.

Terdahulu, kegiatan pemprosesan ayam menggunakan kaedah rendaman air berarus elektrik (Waterbath Stunning) dengan kadar voltan melebihi had ditetapkan sebelum penyembelihan terbongkar dalam serbuan di sebuah gudang di Kampung Sri Aman Hilir, Puchong.

Operasi menerusi Op Taring Chiller itu membawa kepada penahanan 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan serta rampasan 468 bungkusan ayam mentah seberat 6,555kg yang dianggarkan bernilai RM85,400.

BBerkaitan

Latest articles