KUALA LUMPUR: Titah Yang di-Pertuan Agong supaya Datuk Seri Najib Razak membayar denda RM50 juta dan menjalani baki hukuman penjara sebagai banduan di bawah tahanan rumah disifatkan sebagai keputusan paling bijaksana dan seimbang dalam menangani isu keadilan.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer, berkata keputusan itu bukan sahaja selaras dengan Perlembagaan, malah mampu memelihara martabat institusi negara serta memperkukuh keadilan sosial.
Menurutnya, hakim juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada kemungkinan melakukan kesilapan ketika membuat keputusan, justeru kuasa pengampunan yang diperuntukkan kepada ketua negara menjadi mekanisme penting untuk mengimbangi pelaksanaan undang-undang dengan prinsip belas ihsan.
Beliau berkata, kuasa itu bukan bertujuan mengetepikan keadilan, sebaliknya menjadi ruang untuk menangani kemungkinan ketidakadilan akibat kelemahan dalam proses kehakiman.
“Pada pandangan saya, titah Yang di-Pertuan Agong supaya Najib Razak membayar denda RM50 juta dan menjalani baki hukuman penjaranya sebagai banduan di bawah tahanan rumah antara keputusan paling bijaksana dan seimbang yang pernah saya saksikan sepanjang kerjaya dalam bidang kehakiman,” katanya memetik FMT.
Hamid Sultan turut berpandangan Raja-Raja Melayu tidak seharusnya terheret dalam politik kepartian atau dipengaruhi tekanan media sosial dan pihak tertentu yang cuba memperalatkan kuasa pengampunan demi kepentingan politik.
Mengulas kes SRC International dan 1MDB yang membabitkan Najib, beliau mendakwa terdapat kekurangan dari segi kelengkapan fakta kerana individu utama yang didakwa terlibat, termasuk Jho Low, tidak hadir di mahkamah untuk diperiksa.
Katanya, sebahagian besar asas pendakwaan bergantung pada tindakan individu yang didakwa menjadi perancang utama, namun tidak didakwa atau dibicarakan bersama Najib.
Keadaan itu, menurutnya, menimbulkan persoalan terhadap kelengkapan bukti bagi membuktikan niat tidak jujur dan pengetahuan tertuduh berdasarkan tahap pembuktian melampaui keraguan munasabah.
Beliau berpendapat Mahkamah Persekutuan sepatutnya mengambil kira keseimbangan lebih luas dalam kerangka Perlembagaan ketika melaksanakan kuasa kehakiman, khususnya berhubung kekurangan bukti yang didakwa wujud dalam pertuduhan berkenaan.
Hamid Sultan berkata, mahkamah juga mempunyai bidang kuasa untuk bertindak atas inisiatif sendiri (suo motu) bagi mengeluarkan perintah atau arahan demi menegakkan keadilan, mempertahankan Perlembagaan dan mengelakkan kecelaruan perlembagaan.
Menurutnya, kuasa itu termasuk mengarahkan sesuatu perkara dipersembahkan kepada Raja-Raja Melayu untuk pertimbangan dan titah sewajarnya, malah kerajaan boleh diarahkan memudahkan pelaksanaannya melalui pindaan Perlembagaan atau penggubalan undang-undang jika diperlukan.
Beliau berkata, pendekatan sedemikian lebih baik daripada membiarkan kerajaan dan agensinya mengheret mahkamah dalam usaha yang sukar, sehingga berisiko melangkaui batas bidang kuasa kehakiman dan mencetuskan perpecahan rakyat.
Tambahnya, kuasa pengampunan merupakan pengecualian yang diperuntukkan Perlembagaan terhadap prinsip keputusan mahkamah sebagai keputusan muktamad, selain menjadi mekanisme terakhir bagi individu yang disabitkan kesalahan apabila timbul persoalan berkaitan keadilan.
Di negara Komanwel, katanya, kuasa itu turut berperanan menangani kemungkinan keputusan mahkamah dipengaruhi pelbagai faktor, termasuk tafsiran Perlembagaan, politik, pendakwaan, kaum, agama, konflik kepentingan serta pendekatan dalam penerapan undang-undang.










