KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melaksanakan semakan dan penapisan kandungan program televisyen serta permohonan penerbit luar bagi memastikan bahan penyiaran mematuhi garis panduan berunsur Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, semakan itu dilaksanakan menerusi Bahagian Penyiaran dan Penyelidikan JAKIM berdasarkan garis panduan rasmi yang ditetapkan.
“Semakan ini berpandukan garis panduan rasmi seperti Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam (Bilangan 4 Tahun 2015) serta Garis Panduan Hiburan Dalam Islam (Edisi Kedua),” katanya menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) yang meminta Perdana Menteri menyatakan peranan kerajaan, khususnya Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), dalam memperkukuh tapisan kandungan filem dan drama agar mematuhi aspek keagamaan, moral dan sosiobudaya.
Soalan itu turut menyentuh usaha mencegah kandungan LGBT, erotik atau seksual keterlaluan yang bercanggah dengan nilai dan sensitiviti masyarakat Islam.
Menurut Zulkifli, JAKIM turut berperanan sebagai penasihat kandungan berunsur Islam dan mengalu-alukan penggiat industri mendapatkan pandangan pakar agama serta pihak berkuasa agama sejak peringkat awal penceritaan atau penyediaan skrip.
Katanya, langkah itu bertujuan memastikan mesej yang disampaikan dalam sesebuah karya selari dengan nilai Islam.
Selain itu, JAKIM menjalinkan kerjasama dengan Lembaga Penapis Filem (LPF), Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi sesi tonton dan bincang filem, khususnya bagi karya yang menyentuh aspek agama Islam serta sensitiviti masyarakat.
“Melalui sesi tersebut, JAKIM memberikan pandangan dan khidmat nasihat berkaitan aspek akidah, syariah dan akhlak sebagai input kepada LPF dalam membuat pertimbangan dan keputusan penapisan filem,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pengurusan kandungan agensi penyiaran di bawah Hal Ehwal Agama seperti TV AlHijrah turut dikawal selia menerusi garis panduan dan identiti kandungan stesen berkenaan.
Setiap drama atau skrip yang dikemukakan akan dinilai panel khas dan Unit Patuh Syariah bermula peringkat pembentangan idea (pitching), penilaian skrip sehingga penerbitan akhir.
Penilaian itu merangkumi aspek akidah, syariah, akhlak, adab pergaulan serta pemakaian bagi memastikan kandungan yang dihasilkan mematuhi ketetapan ditetapkan.
Zulkifli berkata, kandungan drama TV AlHijrah juga tertakluk kepada kelulusan LPF sebelum ditayangkan kepada umum.
“TV AlHijrah turut bekerjasama dengan penulis skrip, pengarah dan penerbit bagi memastikan mesej dakwah disampaikan secara kreatif menerusi penerbitan drama bermutu tanpa mengetepikan nilai murni serta sensitiviti awam,” jelasnya.










