KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, memberi isyarat mahu kembali bertanding di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sekali gus menuntut Perikatan Nasional (PN) mencari kerusi lain untuk ditandingi.
Beliau menegaskan Padang Rengas kekal sebagai kerusi Barisan Nasional (BN) meskipun kini berada di bawah penguasaan PN selepas kemenangan calon gabungan itu pada PRU15.
“Itu kerusi BN. Cari kerusi lain,” katanya memetik FMT ketika mengulas kemungkinan PN mahu mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan pada PRU16.
Pendirian Nazri itu berpotensi mengundang persoalan mengenai agihan kerusi antara BN dan PN sekiranya kerjasama pilihan raya kedua-dua gabungan yang terjalin di Negeri Sembilan dan Melaka diperluaskan ke peringkat nasional.
Padang Rengas kini disandang Azahari Hasan yang memenangi kerusi itu atas tiket PN pada PRU15.
Beliau turut berada dalam barisan kepimpinan Parti Wawasan Negara (Wawasan), salah satu parti komponen PN.
Nazri yang masih menerajui Umno Bahagian Padang Rengas berkata, hasrat untuk kembali ke Parlimen timbul selepas beliau menamatkan perkhidmatan sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS).
“Saya masih ketua bahagian dan berhajat bertanding di Parlimen,” katanya.
Beliau berkhidmat sebagai duta besar Malaysia ke AS dari Februari 2023 hingga Februari 2025, selepas mengumumkan persaraan daripada politik pada Ogos 2021 dan tidak bertanding pada PRU15 bagi memberi laluan kepada muka baharu.
Bagaimanapun, percubaan BN mempertahankan Padang Rengas menerusi calon penggantinya, Mohd Arrif Abdul Majid, tidak berhasil apabila tewas kepada Azahari dengan majoriti 3,046 undi.
Selepas pulang dari AS, Nazri sebelum ini menyatakan hasrat membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menghadapi PRU16 tanpa kembali menjadi calon.
Namun, pendiriannya berubah apabila pada April lalu beliau menyatakan kesediaan untuk bertanding semula di Padang Rengas, tertakluk kepada persetujuan pucuk pimpinan Umno.
Nazri pernah mewakili Padang Rengas selama empat penggal, bermula 2004 hingga 2022.
Sebelum itu, beliau turut menjadi Ahli Parlimen Chenderoh selama dua penggal sejak 1995.










