Lebih 70 Peratus Jawatan Profesional, Pengurusan Di Sabah Dan Sarawak Diisi Anak Tempatan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 87.10 peratus jawatan Persekutuan dalam kumpulan pengurusan dan profesional di Sarawak diisi anak tempatan, berbanding 71.88 peratus di Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ir Ts Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud berkata, angka itu berdasarkan data Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) sehingga 12 Oktober 2026.

“Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sentiasa menyokong dasar Borneonisasi dengan memberi keutamaan kepada Anak Negeri Sabah dan Sarawak untuk berkhidmat di negeri kelahiran masing-masing,” katanya menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Datuk Hajah Siti Aminah Aching (Beaufort) yang meminta Perdana Menteri menyatakan peratus pengisian jawatan Persekutuan oleh anak tempatan di Sabah dan Sarawak, khususnya dalam kumpulan pengurusan dan profesional.

Siti Aminah turut meminta penjelasan mengenai sasaran dasar Borneonisasi yang ingin dicapai dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurut Mustapha, prinsip itu diterjemahkan melalui proses penempatan pegawai guna sama dengan mengambil kira aspek kekosongan, merit, kesesuaian dan persetujuan kerajaan negeri.

Katanya, pendekatan berkenaan selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 14 Tahun 1974 berkaitan penempatan pegawai Persekutuan di jabatan Persekutuan peringkat negeri bertarikh 29 April 1974.

Ia turut berpandukan Surat Edaran Pelaksanaan Pengisian Jawatan Ketua Jabatan Persekutuan di Negeri Sabah dan Sarawak bertarikh 6 Mac 2026.

Dalam usaha memastikan dasar Borneonisasi dilaksanakan dengan lebih menyeluruh, JPA turut mengadakan sesi libat urus bersama pengurus sumber manusia kementerian dan jabatan bagi menerangkan prosedur penempatan pegawai Perkhidmatan Bukan Gunasama yang perlu mengutamakan pegawai kelahiran Sabah dan Sarawak.

BBerkaitan

Latest articles