Microsoft Berdepan Gangguan Global, Outlook, Teams Dan Copilot Terjejas

KUALA LUMPUR: Microsoft sedang berusaha memulihkan perkhidmatan digitalnya selepas gangguan berskala global menjejaskan akses kepada beberapa aplikasi utama termasuk Outlook, Microsoft Teams dan Copilot sejak Khamis.

Gangguan yang berlarutan sehingga Jumaat itu turut memberi kesan kepada perkhidmatan Microsoft 365 lain seperti SharePoint Online, OneDrive, Planner dan Microsoft Defender XDR.

Menurut laporan ABC News pada Jumaat, gangguan berkenaan menyebabkan pengguna di beberapa negara menghadapi kesukaran mengakses e-mel, menghantar dan menerima mesej serta menggunakan aplikasi komunikasi dan produktiviti.

Microsoft dalam kenyataannya memaklumkan sedang menyiasat punca gangguan berkenaan dan mengambil langkah bagi mengurangkan kesannya terhadap pengguna.

“Kami sedang berusaha secara agresif untuk meneroka semua langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan kesan gangguan ini.

“Kami sedang menyiasat punca pelayan berkenaan menjadi tidak tersedia, sambil berusaha mengembalikannya kepada operasi dengan selamat,” menurut kenyataan syarikat itu seperti dipetik ABC News.

Sementara itu, laporan SoyaCincau menyebut Microsoft pada awalnya mengenal pasti peningkatan beban infrastruktur sebagai antara punca masalah sambungan yang berlaku merentasi beberapa rantau.

Siasatan lanjut mendapati sejumlah besar pelayan secara tiba-tiba tidak tersedia, sekali gus menyebabkan infrastruktur yang masih beroperasi terpaksa menampung peningkatan trafik.

Microsoft kini mengambil langkah memulihkan pelayan terjejas, mengasingkan infrastruktur bermasalah dan mengembalikan trafik secara berperingkat bagi memastikan kestabilan perkhidmatan.

Laporan The Straits Times pula menyebut gangguan berkenaan turut menjejaskan pengguna di Singapura, dengan ribuan laporan masalah akses direkodkan menerusi platform pemantauan Downdetector.

Menurut laporan itu, aduan berkaitan Outlook pernah mencecah 138,058 laporan ketika kemuncak gangguan sebelum jumlah berkenaan mula menurun.

Bagaimanapun, Microsoft belum memberikan jangka masa khusus bagi pemulihan sepenuhnya semua perkhidmatan yang terjejas.

Gangguan itu turut memberi kesan kepada syarikat kecerdasan buatan (AI) OpenAI dan Anthropic yang melaporkan masalah berkaitan penyambung Microsoft 365 masing-masing.

BBerkaitan

Latest articles