KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menepis spekulasi mengenai kemungkinan rombakan Kabinet dalam masa terdekat, sambil menegaskan belum ada sebarang perkembangan atau maklumat diterima berhubung perkara itu.
Beliau berkata, terlalu awal untuk membincangkan perkara berkenaan ketika ditanya mengenai khabar angin perubahan beberapa jawatan dalam barisan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
“Awal lagi, saya tak tahu mengenai rombakan (Kabinet),” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Minggu Pembinaan Antarabangsa 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Mengulas mengenai tempoh pelantikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Ahli Dewan Negara yang bakal berakhir pada 11 Disember ini, Anwar turut mengakui belum menerima sebarang makluman daripada menteri berkenaan.
“Yakah (tempoh tamat pelantikan Amir Hamzah)? Beliau (Amir Hamzah) belum beritahu apa-apa,” katanya ringkas.
Sebelum ini, media melaporkan kemungkinan berlaku perubahan dalam barisan Kabinet susulan jangkaan dua kekosongan jawatan dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Perubahan itu difahamkan tidak membabitkan wakil UMNO dan Barisan Nasional (BN), sebaliknya dikaitkan dengan penggantian wakil DAP serta seorang lagi anggota pentadbiran bertaraf senator.
Menurut sumber, spekulasi itu turut dikaitkan dengan kedudukan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang dikatakan berhasrat melepaskan jawatan susulan keputusan DAP menolak pengampunan bersyarat bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Satu lagi faktor yang mencetuskan spekulasi ialah tempoh pelantikan Amir Hamzah sebagai Ahli Dewan Negara yang bakal tamat pada Disember ini dan perlu diperbaharui sekiranya beliau mahu terus menganggotai Kabinet.










