MELAKA: Seramai 9,769 warga Tentera Darat Malaysia (TDM) dan pasangan berdaftar layak menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, hari ini.
Jumlah itu merangkumi 7,868 anggota tentera dan 1,901 pasangan yang berdaftar sebagai pemilih.
Menurut kenyataan Cawangan Komunikasi Strategik (CKS), Markas Tentera Darat Malaysia, pengundi berkenaan tertumpu di empat kawasan Parlimen iaitu Masjid Tanah, Alor Gajah, Tangga Batu dan Hang Tuah Jaya.
Taburan pengundi dalam kalangan warga tentera serta pasangan itu pula melibatkan empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Lendu, Durian Tunggal, Sungai Udang dan Bukit Katil.
Menurut kenyataan itu, jumlah berkenaan mencerminkan penyertaan warga TDM daripada pelbagai pasukan dan formasi yang bertugas di Melaka.
Pelaksanaan pengundian awal turut memberi peluang kepada anggota tentera serta pasangan yang layak untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
TDM menegaskan komitmennya memastikan warga pasukan itu terus memainkan peranan dalam mempertahankan negara, selain memenuhi tanggungjawab sebagai rakyat.
Pengundian awal PRN Melaka ke-16 berlangsung hari ini, manakala hari pengundian ditetapkan pada Sabtu ini.










