KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) didakwa terus mengubah pendirian berhubung pelaksanaan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak sehingga menimbulkan kekeliruan kepada pihak pembelaan.
Peguam Muhammad Farhan Shafee berkata, tindakan itu seolah-olah “mengalih tiang gol pada detik akhir”, sedangkan Perintah Pelepasan Mahkamah Tinggi jelas menyatakan denda RM50 juta telah dibayar dan baki hukuman perlu dijalani di bawah tahanan rumah mengikut pengampunan bersyarat.
Beliau menegaskan, perintah dalam kes jenayah dikeluarkan oleh mahkamah sendiri dan bukannya pihak pembelaan, justeru tiada keperluan untuk mentafsir semula kandungannya.
“Tiada apa-apa dalam perintah itu yang memerlukan tafsiran,” katanya memetik BH.
Farhan turut mempersoalkan kenyataan terbaru Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, yang didakwa berbeza dengan pendirian AGC sebelum ini.
Menurutnya, AGC perlu menjelaskan sama ada isu berkenaan berpunca daripada kemungkinan dua tafsiran terhadap perintah itu atau kecacatan dalam dokumen mahkamah, kerana kedua-duanya memerlukan penyelesaian berbeza.
Kontroversi itu tercetus selepas AGC menangguhkan pelaksanaan tahanan rumah Najib bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perintah mahkamah, meskipun UMNO mengesahkan pembayaran denda RM50 juta bagi pihak bekas perdana menteri itu.
Istana Negara sebelum ini menegaskan bahawa pelaksanaan pengampunan bersyarat tidak sepatutnya menimbulkan kekeliruan berpanjangan sekiranya semua syarat ditetapkan telah dipenuhi.










