KAJANG: Seorang wanita tempatan berusia lingkungan 40-an ditahan polis selepas disyaki melukis kalimah Allah dan tanda salib pada kotak panel kawalan elektrik di Taman Sutera, Kajang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, wanita berkenaan ditahan kira-kira jam 2.15 petang semalam oleh sepasukan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
Polis turut merampas beberapa barangan bagi membantu siasatan, termasuk cat merah dan pakaian yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu.
Menurut Naazron, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 12.16 tengah hari Ahad susulan penularan video yang memaparkan perbuatan berkenaan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian, termasuk mendapatkan keterangan saksi serta meneliti rakaman video yang tular,” katanya dalam kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 298 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Seksyen 298 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, manakala Seksyen 427 memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, tertakluk kepada pembuktian elemen kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Nazirulzahin Mohd Hashim di talian 017-8881 475 bagi membantu siasatan.
Polis turut menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang.










