Ramkarpal Pertahan AGC, Desak Perintah Tahanan Rumah Najib Diperjelas Segera

KUALA LUMPUR: Perintah mahkamah yang membabitkan pelaksanaan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak perlu diperjelas segera bagi mengelakkan percanggahan dengan pengampunan bersyarat yang diberikan kepada bekas perdana menteri itu.

Ketua Biro Undang-Undang DAP, Ramkarpal Singh, mempertahankan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) yang menggesa penjelasan mahkamah berhubung perkara itu, sambil menegaskan langkah berkenaan tidak bermaksud mencabar prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pengampunan.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata, penggunaan perkataan ‘discharge’ (pelepasan) dalam perintah Mahkamah Tinggi berkenaan berpotensi ditafsirkan sebagai pembebasan Najib, bukannya membolehkan beliau menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

Menurutnya, tafsiran itu bercanggah dengan pengampunan bersyarat yang menetapkan Najib boleh menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di rumah sekiranya denda RM50 juta dilunaskan.

Justeru, beliau berpandangan penjelasan terhadap perintah berkenaan amat penting bagi memastikan pelaksanaan pengampunan bersyarat itu tidak menimbulkan sebarang kekeliruan.

“Pendirian AGC turut dipengaruhi fakta bahawa Najib perlu menjalani satu lagi hukuman bagi sabitan kes 1MDB sejurus selesai hukuman kes SRC, yang mana pelaksanaannya belum ditangguhkan setakat ini,” katanya dalam kenyataan.

Ramkarpal turut mempersoalkan skop pewartaan kediaman Najib sebagai penjara, khususnya sama ada ia boleh digunakan bagi pelaksanaan hukuman selain kes SRC International.

Katanya, pewartaan itu dibuat berdasarkan pengampunan bagi kes SRC semata-mata, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada kediaman berkenaan boleh digunakan untuk Najib menjalani hukuman penjara bagi kes 1MDB.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan AGC wajar meminta Mahkamah Tinggi memberikan penjelasan atau menyemak semula perintah pelepasan berkenaan dengan segera, memandangkan isu itu memerlukan tindakan segera.

Ramkarpal menegaskan, permohonan tersebut bukan bertujuan mempertikaikan atau memperjelas terma pengampunan bersyarat yang disifatkannya sudah jelas, sebaliknya bagi membetulkan kemungkinan kekhilafan dalam perintah mahkamah demi memastikan pentadbiran keadilan berjalan dengan sewajarnya.

Pada 6 November lalu, UMNO memaklumkan parti itu telah melunaskan denda RM50 juta bagi pihak Najib, sekali gus membuka ruang kepada bekas presiden parti itu menjalani baki hukuman kes SRC di bawah tahanan rumah.

Bagaimanapun, AGC menggesa pelaksanaan perintah berkenaan ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan berhubung percanggahan terma dalam dokumen mahkamah.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, sebelum ini mendakwa terdapat kesilapan ketara dalam perintah berkenaan yang sepatutnya dapat dikenal pasti sekiranya dokumen itu diteliti dengan cermat.

BBerkaitan

Latest articles