MELAKA: “Mengapa isu ambiguiti titah Yang di-Pertuan Agong hanya dibangkitkan selepas mesyuarat Lembaga Pengampunan selesai?”
Persoalan itu dibangkitkan Pengarah Pilihan Raya Wawasan Negara bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mempersoalkan tindakan Peguam Negara (AG), Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar membangkitkan isu berkenaan susulan titah berkaitan pelaksanaan tahanan di rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurutnya, tindakan itu menimbulkan persoalan kerana AG sendiri merupakan anggota Lembaga Pengampunan dan sepatutnya mendapatkan penjelasan mengenai sebarang kekeliruan ketika mesyuarat berlangsung.
“Kenapa tak logik? Sebab Peguam Negara duduk dalam Lembaga Pengampunan. Kalau dia rasa keliru, kalau dia rasa tak pasti, ada kekeliruan, ada ambiguiti yang perlu diperjelaskan, tanyalah dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.
“Kenapa slow sangat? Habis mesyuarat baru tu fikir? Dia tak boleh jadi afterthought macam ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di Bilik Gerakan DUN Kesidang, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, calon Perikatan Nasional (PN) DUN Kesidang, Albert Kok; Naib Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Leong Kim Soon dan pempengaruh, Albert Tei.
Wan Saiful mendakwa tindakan AG itu seolah-olah bertujuan melengahkan pelaksanaan titah Yang di-Pertuan Agong, selain menyifatkannya sebagai perkara yang tidak boleh dipandang ringan.
Katanya, sekiranya AG berpendirian bahawa titah Yang di-Pertuan Agong tidak perlu dilaksanakan, beliau sepatutnya melepaskan jawatan.
“Saya minta Peguam Negara, kalau sekiranya Agong pun dia nak lawan, lebih baik dia letak jawatan. Jangan terus memegang jawatan itu dan menjadi puppet kepada mana-mana pihak yang mempergunakan institusi tersebut untuk kepentingan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut membandingkan pelaksanaan pengampunan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dengan isu yang membabitkan Najib.
Menurutnya, ketika Anwar menerima pengampunan, tiada persoalan atau kelewatan dibangkitkan berhubung pelaksanaan keputusan berkenaan.
“Ini bila berlaku kepada dia, dia ucap alhamdulillah, bila berlaku kepada orang lain, dia kata nauzubillah. Tak bolehlah begitu. Ini satu hipokrisi level yang istimewa yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Sementara itu, Wan Saiful berkata, laporan polis yang dibuat Albert Kok berhubung isu berkenaan membuktikan keprihatinan calon PN itu terhadap kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong.
Beliau bagaimanapun menjelaskan PN tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada ahlinya untuk membuat laporan polis berhubung isu tersebut.
“Kita tidak mengeluarkan arahan tersebut, sesiapa yang prihatin boleh menjalankan tindakan tersebut. Tapi yang pastinya, ini satu perkara yang mengejutkan.
“Saya rasa tak pernah lagi jadi dalam sejarah negara ini sejak merdeka, Peguam Negara berani mempersoalkan titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya.










