KUALA LUMPUR: Sebanyak 5,860 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak direkodkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 3,581 kes membabitkan penderaan fizikal, seksual dan emosi, manakala 2,279 kes lagi berkaitan pengabaian termasuk kecuaian penjagaan kanak-kanak.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan peningkatan kes penderaan daripada 1,522 kes pada suku pertama kepada 2,059 kes pada suku kedua 2026.
“Selain itu, JKM turut merekodkan sebanyak 987 kes pengabaian, termasuk kecuaian terhadap kanak-kanak, pada suku tahun pertama 2026.
“Kategori ini turut mencatatkan peningkatan pada suku tahun kedua dengan 1,292 kes, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 2,279 kes bagi separuh tahun pertama 2026,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjawab soalan Tuan Sabri Azit (PN-Jerai) mengenai statistik penderaan dan kecuaian penjagaan kanak-kanak serta jumlah kes yang dibawa ke mahkamah, Nancy berkata, sebanyak 867 kertas siasatan berkaitan penderaan kanak-kanak dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat Jun 2026.
Daripada jumlah itu, sebanyak 267 kes sudah didakwa di mahkamah.
Beliau berkata, KPWKM menerusi JKM sentiasa memastikan kebajikan, keselamatan dan perlindungan kanak-kanak terpelihara selaras dengan peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), yang melindungi kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun.
Menurutnya, JKM turut bertanggungjawab menyelamatkan mangsa, menyediakan penempatan selamat dan memberikan sokongan pemulihan sewajarnya, selain melaksanakan program kesedaran bagi mencegah kejadian penderaan serta pengabaian.
Katanya, Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak dilaksanakan sejak 2023 melalui Pasukan Pelindung Kanak-kanak (PPKK) dan Pusat Aktiviti Kanak-kanak (PAKK), dengan penglibatan komuniti serta agensi berkaitan.
“Bagi tempoh Januari hingga September 2026, sebanyak 220 program KASIH Kanak-Kanak dilaksanakan di 220 sekolah dengan penglibatan seramai 57,012 peserta terdiri daripada kanak-kanak, ibu bapa dan guru,” katanya.
Secara kumulatif sejak 2023, program berkenaan dilaksanakan di 1,244 sekolah dan 74 PAKK, dengan penyertaan keseluruhan lebih 270,000 orang.
Dalam pada itu, Nancy menyeru masyarakat supaya melaporkan sebarang kes penderaan atau kecuaian penjagaan kanak-kanak menerusi Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019-2615999 yang beroperasi 24 jam.
Beliau berkata, kerjasama orang ramai penting bagi membolehkan tindakan intervensi dan penyelamatan segera diambil bagi melindungi kanak-kanak yang menjadi mangsa.










