KOTA BHARU: Desas-desus mengenai kemungkinan penubuhan Perikatan Nasional (PN) baharu mula diperkatakan susulan pembatalan pendaftaran gabungan itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata beliau turut mendengar khabar angin berhubung perkara itu, namun tidak dapat mengesahkan kesahihannya.
Menurutnya, tidak mustahil ada pihak yang mahu membentuk gabungan baharu dan mendapatkan kelulusan RoS untuk meneruskan kerjasama politik di bawah nama berbeza.
“Tidak mengapa, ambillah. Mungkin dia boleh mengajak mana-mana parti yang mereka baik menyertai gabungan baharu itu.
“Ini saya hanya dengar orang berkata, saya tidak tahulah sejauh mana kebenarannya,” katanya ketika ditemui selepas program Ceramah Jelajah Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah Parlimen Kubang Kerian, malam tadi.
Mengulas tuduhan Bersatu yang mengaitkan beliau dan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, sebagai punca pembatalan pendaftaran gabungan itu, Takiyuddin menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai hak pihak terbabit.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kepimpinan PN sebelum ini tidak berdepan masalah untuk memimpin gabungan itu, malah parti berkenaan berjaya memenangi pilihan raya negeri.
“Ketika Bersatu jaga PN pun ramai ahli yang keluar, jadi jangan kata macam-macam. Kita jadi Pengerusi PN tiada masalah pun, pilihan raya negeri pun menang,” katanya.
Beliau turut mendakwa aduan Bersatu kepada RoS menjadi punca kepada tindakan pembatalan pendaftaran PN.
Semalam, RoS mengesahkan pembatalan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal alasan pembatalan seperti dinyatakan dalam notis terdahulu.
Keputusan itu dibuat mengikut Subseksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832), selepas jabatan berkenaan meneliti dokumen serta representasi yang dikemukakan PN pada 12 Oktober lalu.










