KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) dijangka memuktamadkan penggunaan logo dan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam tempoh beberapa hari lagi, ketika rundingan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) masih berlangsung.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata penggunaan logo bukan halangan utama meskipun pendaftaran gabungan itu dibatalkan, kerana parti-parti komponennya boleh mempertimbangkan penggunaan logo parti lain mengikut peruntukan undang-undang.
Beliau memberi contoh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 apabila BERSATU, AMANAH dan DAP menggunakan logo PKR untuk bertanding.
Menurutnya, UMNO juga memberikan ruang kepada PN untuk memilih logo yang bersesuaian, manakala keutamaan ketika ini adalah memastikan kerjasama antara lima parti dalam PN dengan UMNO dapat direalisasikan.
“Isu logo tidak menjadi masalah kerana kita boleh menggunakan apa sahaja logo. Apa yang penting adalah kami lima parti daripada PN memutuskan untuk bekerjasama dengan UMNO,” katanya pada sidang media selepas Ceramah Jelajah Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah Parlimen Kubang Kerian, malam tadi.
Mengulas pembahagian kerusi, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata rundingan dengan BN masih diteruskan, dengan jumlah kerusi yang bakal diperuntukkan kepada PN belum diputuskan secara rasmi.
Katanya, BN pada peringkat awal menyatakan hasrat untuk bertanding di 21 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus membuka ruang rundingan bagi baki tujuh kerusi.
“Kalau dapat lebih daripada tujuh pun Alhamdulillah, namun kalau tidak dapat lebih pun tidak mengapa kerana itu sudah memadai,” katanya.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan PN sudah menyediakan senarai calon dan menggerakkan jentera pilihan raya bagi menghadapi PRN Melaka yang dijadual berlangsung bulan depan.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa PN mampu memberikan saingan sengit dan berusaha meraih kemenangan dalam pilihan raya berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian bagi PRN Melaka ke-16 berlangsung pada 14 November ini.
Pada PRN Melaka sebelum ini, BN mendominasi persaingan dengan memenangi 21 kerusi, diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan lima kerusi, manakala PN memperoleh dua kerusi.










