KOTA BHARU: Naib Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Wan Saiful Wan Jan mencadangkan supaya kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu yang dilantik sebagai Exco kerajaan Kelantan, Terengganu dan Kedah dipertimbangkan semula susulan perkembangan melibatkan Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, langkah itu wajar diteliti bagi mengelakkan sumber kerajaan negeri yang terhad digunakan untuk tindakan yang boleh menjejaskan kerjasama dalam gabungan berkenaan.
Menurut Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, pengalaman di peringkat Persekutuan perlu dijadikan pengajaran supaya perkara sama tidak berulang dalam pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui PN.
“Di negeri Kelantan ini masih ada wakil daripada parti yang menghancurkan Perikatan Nasional dalam kerajaan negeri.
“Saya nak mencadangkan supaya kalau boleh ADUN-ADUN yang ada Exco kerajaan negeri yang ada, pertimbangkanlah kembali adakah kita nak terus simpan duri-duri dalam daging ini dalam keluarga kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Jelajah Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah (HIMPAK) Parlimen Pengkalan Chepa di sini pada malam tadi.
Turut hadir, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari; Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Dr Izani Husin dan ADUN Kemuning, Ahmad Zakhran Mat Noor.
Wan Saiful berkata, langkah berwaspada itu juga perlu dipertimbangkan oleh kepimpinan di Terengganu dan Kedah bagi mengelakkan risiko yang boleh menjejaskan pentadbiran serta kerjasama politik di negeri berkenaan.
“Ini perkara penting sebab kita tak mahu nanti sumber yang ada, yang terhad di peringkat kerajaan negeri dipergunakan untuk menikam kita sendiri dari belakang.
“Tapi ini terserah atas kebijaksanaan kawan-kawan yang mentadbir di Negeri Kelantan ini, di Terengganu pun sama, di Kedah pun sama. Cumanya kita kena berhati-hati dan kena belajar daripada pengalaman ini,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Saiful mendakwa perkembangan yang membawa kepada pembatalan pendaftaran PN mempunyai kaitan dengan konflik dalaman Bersatu yang menurutnya perlu dijelaskan oleh kepimpinan parti berkenaan.
Beliau mendakwa, notis daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) yang menyentuh isu pendaftaran PN turut membangkitkan beberapa perkara berkaitan Bersatu, termasuk isu jemputan mesyuarat, rundingan kerusi dan hak parti itu dalam gabungan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan peranan Bersatu dalam perkembangan tersebut dan menggesa pihak berkenaan memberikan penjelasan.
Wan Saiful turut mendakwa terdapat perubahan dalam hubungan politik antara Bersatu dengan pihak lain, termasuk perkembangan rundingan antara Bersatu Selangor dan kerajaan negeri Selangor berhubung peruntukan.
Menurutnya, perkembangan itu menimbulkan persoalan mengenai hala tuju kerjasama politik Bersatu ketika hubungan dalam PN berdepan ketidaktentuan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penubuhan Parti Wawasan Negara mempunyai kaitan rapat dengan PAS apabila idea penubuhan parti itu dibincangkan dalam pertemuan bersama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Rusila, Terengganu, pada 13 Februari lalu.
Katanya, nama Parti Wawasan Negara juga diberikan oleh Abdul Hadi sebelum parti itu diumumkan secara rasmi dalam satu himpunan di Tanah Merah pada 13 Jun lalu.
Beliau berkata, hubungan rapat antara kedua-dua parti itu menjadi antara asas kepada usaha memperkukuh penyatuan ummah, yang menurutnya perlu melibatkan lebih banyak parti berteraskan Melayu, Islam dan Bumiputera.
Wan Saiful berkata, usaha penyatuan berkenaan tidak seharusnya terhad kepada PAS dan Wawasan Negara sahaja, sebaliknya perlu merangkumi parti lain termasuk UMNO serta parti-parti lain yang berkaitan.
Menurutnya, perkembangan politik semasa perlu dijadikan peluang untuk memperkukuh kerjasama antara parti berkenaan bagi menghadapi cabaran politik pada masa depan.










