Muslim Dilarang Bantu Bersihkan Ruang Ritual Rumah Ibadat Bukan Islam

GEORGETOWN: Umat Islam perlu menjaga batas akidah dan syariat dengan tidak terbabit dalam kerja pembersihan yang mempunyai kaitan langsung dengan ritual keagamaan bukan Islam, termasuk membersihkan patung sembahan dan altar pemujaan.

Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman, berkata hukum berhubung pembabitan umat Islam dalam aktiviti membersihkan rumah ibadat agama lain perlu dinilai berdasarkan jenis kerja dan kaitannya dengan pelaksanaan ritual keagamaan.

Beliau menjelaskan, kerja yang secara langsung membantu penyediaan, penyelenggaraan atau pengendalian tempat dan peralatan khusus untuk upacara keagamaan adalah dilarang.

Katanya, larangan itu selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah, ayat 2 yang melarang umat Islam bekerjasama dalam perkara dosa dan pencerobohan.

“Justeru, umat Islam dilarang terbabit dalam aktiviti gotong-royong membersihkan kuil atau rumah ibadat agama lain apabila pekerjaan itu adalah bantuan langsung kepada penyelenggaraan tempat ibadat mereka,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa batasan berkenaan tidak bermakna umat Islam dilarang membantu masyarakat bukan Islam dalam urusan kemanusiaan, kebajikan dan keselamatan.

Menurutnya, kerja kemasyarakatan seperti membersihkan longkang awam, mengutip sampah di kawasan kejiranan, membantu mangsa banjir serta membersihkan laluan yang digunakan orang ramai pada asasnya dibenarkan, selagi tidak melibatkan ritual keagamaan atau membantu pelaksanaannya secara langsung.

Mohd Sukki mengulas video yang tular di media sosial, memaparkan sekumpulan individu termasuk orang Islam bergotong-royong membersihkan sebuah rumah ibadat bukan Islam di Georgetown.

Aktiviti itu dipercayai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dikongsikan menerusi hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha mempertahankan akidah tidak seharusnya disalahertikan sebagai sikap memusuhi penganut agama lain kerana Islam tidak mengajar umatnya menghina, menzalimi atau bermusuhan dengan mereka.

“ Menghormati agama lain tidak bermaksud seseorang Muslim perlu mengambil bahagian dalam urusan keagamaan mereka,” katanya, sambil merujuk surah al-Kafirun, ayat 6 yang menegaskan prinsip bahawa setiap pihak mempunyai pegangan agama masing-masing.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pertubuhan, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan badan sukarela supaya mengambil kira sensitiviti akidah umat Islam ketika merancang program perpaduan antara agama.

Katanya, usaha mengukuhkan hubungan masyarakat berbilang kaum boleh dilaksanakan melalui aktiviti alternatif seperti membersihkan kawasan perumahan, taman awam, sekolah dan kawasan rekreasi, selain menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan tanpa mengira agama atau bangsa.

Beliau menegaskan, perpaduan masyarakat majmuk perlu dibina berlandaskan sikap saling menghormati kepercayaan masing-masing, tanpa mencampuradukkan urusan ibadat dan akidah.

“Islam mengajar kita menghormati penganut agama lain, tetapi penghormatan itu tidak boleh sampai mengaburi batas akidah dan syariat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles