Lima Rakyat Malaysia Ditahan Di Jepun, Seludup 5kg Kokain Dalam Kasut

KUALA LUMPUR: Lima rakyat Malaysia termasuk seorang wanita ditahan di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, Jepun, Sabtu lalu kerana disyaki cuba menyeludup kira-kira 5kg kokain bernilai 120 juta yen (RM3.1 juta) yang disembunyikan dalam kasut.

Menurut Berita Harian yang memetik agensi berita Jepun, semua suspek tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum kegiatan mereka terbongkar apabila pegawai kastam mengesyaki tapak kasut seorang daripada mereka terlalu tebal.

Pemeriksaan menemukan kokain di bawah pelapik kasut kesemua suspek, dengan setiap individu dipercayai membawa kira-kira 1kg dadah.

Empat suspek lelaki mengaku membawa dadah itu, manakala seorang wanita berusia 25 tahun mendakwa tidak mengetahui bungkusan berkenaan mengandungi kokain.

Seorang suspek lelaki berusia 24 tahun mendakwa ditawarkan bayaran RM8,000 melalui aplikasi Telegram untuk membawa dadah berkenaan.

Polis Tokyo kini menyiasat kemungkinan kesemua suspek direkrut sindiket jenayah berpangkalan di Malaysia bagi menjalankan penyeludupan dadah antarabangsa.

BBerkaitan

Latest articles