KUALA LUMPUR: Perjanjian pembekalan bahan nadir bumi antara Lynas Rare Earths Ltd dan Kerajaan Amerika Syarikat merupakan urusan komersial yang diuruskan secara langsung oleh subsidiarinya, Lynas LLC USA, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, berdasarkan maklumat syarikat, bekalan oksida nadir bumi (REO) menerusi kerjasama itu adalah untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor pembuatan magnet kekal.
Menurutnya, kerjasama berkenaan bertujuan memudah cara pemuktamadan perjanjian bekalan bahan bagi industri pembuatan moden yang menyokong usaha Amerika Syarikat memperkukuh daya tahan bekalan nasionalnya.
“Secara teknikalnya, adalah sukar untuk menentukan hala tuju produk siap atau penggunaan akhir unsur nadir bumi (REE), terutama sekali atas faktor kegunaan produk ini yang pelbagai dan merentasi segenap industri.
“Tambahan lagi, rantaian bekalan adalah bersifat terpecah-pecah (fragmented), produk sering bertukar tangan antara pembuat dan pembekal serta terdapat perbezaan antara pembeli dengan pengguna akhir produk,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (Kuala Terengganu) yang meminta penjelasan mengenai pendirian kerajaan terhadap perjanjian pembekalan nadir bumi selama empat tahun antara Lynas dan Pentagon serta implikasinya terhadap kepentingan strategik negara, termasuk destinasi eksport, penggunaan akhir bahan berkenaan dan pematuhan kepada dasar mineral serta keselamatan negara.
Johari berkata, kerajaan komited membangunkan ekosistem REE yang holistik dan bersepadu bagi memaksimumkan nilai ekonomi sumber mineral tempatan.
Katanya, strategi itu memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan tempatan dan antarabangsa untuk memperkukuh segmen pertengahan dan hiliran, khususnya dalam pembuatan berteknologi tinggi seperti magnet kekal, bahan termaju, komponen elektronik dan bateri.
Menurutnya, kerjasama strategik serta pemindahan teknologi daripada negara yang mempunyai kepakaran dalam pemprosesan REE penting untuk meningkatkan keupayaan tempatan merentasi keseluruhan rantaian nilai, daripada perlombongan hingga pembuatan produk akhir.
Beliau berkata, operasi Lynas Malaysia Sdn Bhd, yang dimiliki sepenuhnya oleh Lynas Rare Earths Ltd dari Australia, merupakan antara komponen penting dalam ekosistem pemprosesan REE negara.
Fasiliti di Gebeng, Pahang itu merupakan kemudahan pemprosesan REE segmen pertengahan terbesar di luar China dan mula beroperasi pada 2012.
“Berdasarkan maklumat syarikat, Lynas telah menyumbang kira-kira RM4.81 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia bagi tempoh 2013 hingga 2021.
“Selain itu, Lynas Malaysia turut menyalurkan RM3.8 bilion dalam bentuk pelaburan langsung asing (FDI) bagi tahun kewangan 2008 hingga 2025 untuk membangunkan kilang moden berintensifkan modal serta memantapkan platform pemprosesan dan pengeluarannya secara berterusan,” katanya.
Mengulas operasi syarikat itu, Johari menjelaskan Lynas Malaysia menjalankan pemprosesan pada peringkat awal rantaian nilai, iaitu mengasingkan REE yang dilombong di Australia kepada bekalan oksida nadir bumi.
REO yang diproses kemudiannya dibekalkan kepada pengeluar logam di luar negara sebelum disalurkan kepada pengeluar magnet, manakala magnet berkenaan menjadi input kepada pengeluar motor elektrik dan pengeluar peralatan asal (Original Equipment Manufacturer atau OEM).
Menurutnya, operasi pemprosesan Lynas Malaysia tertakluk kepada dasar semasa kerajaan, termasuk keperluan lesen operasi dan lesen pengilang, kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) serta komitmen terhadap pembangunan ekosistem industri pertengahan dan hiliran yang mengutamakan pembangunan syarikat tempatan.
Dalam pada itu, kerajaan menyasarkan pembangunan potensi sumber nadir bumi bukan radioaktif negara yang dianggarkan berjumlah 16.2 juta tan dengan nilai RM747.2 bilion.
Johari berkata, pembangunan industri REE secara bersepadu merangkumi segmen huluan, pertengahan dan hiliran berpotensi menawarkan kira-kira 4,000 peluang pekerjaan dalam negara.
Tambahnya, pembangunan industri berkenaan secara sistematik mampu menyokong aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Justeru, kerajaan akan terus menggalakkan pelaburan domestik dan antarabangsa serta menjalin kerjasama strategik dengan negara Timur dan Barat yang memiliki teknologi serta kepakaran dalam pemprosesan REE bagi memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global mineral kritikal.










