SHAH ALAM: Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 peringkat negeri dan daerah di seluruh Selangor yang dijadualkan berlangsung esok ditangguhkan susulan keadaan jerebu yang semakin membimbangkan.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, keputusan itu dibuat bagi melindungi kesihatan dan keselamatan orang ramai susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan di negeri ini yang berada pada tahap tidak sihat.
Beliau berkata, keutamaan diberikan kepada keselamatan peserta, petugas, sukarelawan, kanak-kanak dan golongan berisiko yang boleh terjejas akibat pendedahan kepada pencemaran udara ketika melakukan aktiviti fizikal.
“Keselamatan dan kesihatan rakyat mesti mengatasi pertimbangan untuk meneruskan sesuatu program.
“Sambutan Hari Sukan Negara bertujuan memupuk budaya hidup aktif dan sihat. Justeru, penganjurannya tidak wajar diteruskan dalam keadaan yang boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Najwan berkata, sambutan yang dijadualkan pada 10 Oktober itu akan ditetapkan semula ke tarikh baharu yang akan diumumkan kelak.
Sehubungan itu, semua agensi pelaksana, pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat belia dan sukan daerah serta rakan penganjur diminta mengambil maklum penangguhan berkenaan dan membuat penyelarasan sewajarnya.
Orang ramai juga diminta mengikuti pengumuman rasmi untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai penjadualan semula program itu.
Menurutnya, kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan jerebu serta mendapatkan nasihat pihak berkuasa berkaitan sebelum menentukan langkah seterusnya.
Beliau menegaskan, penangguhan itu tidak bermakna komitmen kerajaan negeri terhadap agenda sukan diketepikan, sebaliknya langkah bertanggungjawab bagi memastikan aktiviti sukan dilaksanakan dalam keadaan selamat tanpa mendedahkan masyarakat kepada risiko kesihatan.










