KUALA LUMPUR: Barisan peguam yang mewakili Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin mempertahankan tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, menandatangani proklamasi bertarikh 19 April yang didakwa berkaitan usaha melucutkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.
Menjawab persoalan yang dibangkitkan bekas pemimpin UMNO, Shahril Sufian Hamdan, barisan peguam berkenaan menegaskan bahawa jawatan Menteri Besar merupakan sebuah institusi pentadbiran yang berterusan dan tidak terikat kepada individu yang memegang jawatan itu.
Menurut mereka, kuasa perlembagaan, tanggungjawab serta hak eksekutif yang berkaitan dengan jawatan tersebut terletak pada institusi Menteri Besar, bukannya pada individu yang menyandangnya atau parti politik yang diwakilinya.
“Justeru, sesiapa sahaja yang menjawat jawatan tersebut secara sah mempunyai kapasiti undang-undang untuk menjalankan tugas dan menandatangani dokumen rasmi bagi pihak institusi Menteri Besar berkenaan,” kata Asmawi Ismail, Azam Aziz, Emirul Sarifudin Nor Azmi dan Zainuddin Omar dalam satu kenyataan.
Peguam berkenaan berkata, prinsip itu turut memberikan Menteri Besar yang baharu kuasa untuk menandatangani instrumen rasmi yang diperlukan oleh kerajaan negeri, Pejabat Menteri Besar atau mana-mana institusi negeri.
Mereka pada masa sama menegaskan bahawa kesinambungan pentadbiran tidak seharusnya terjejas hanya kerana berlaku pertukaran individu yang memegang jawatan Menteri Besar.
“Dari sudut tadbir urus, jika setiap pertukaran kepimpinan memerlukan seluruh proses, proklamasi atau keputusan rasmi dimulakan semula dari awal, ia akan menjejaskan kelancaran dan kesinambungan pentadbiran negeri,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan tersebut hadir selepas Shahril mempersoalkan kesahan proklamasi bertarikh 19 April yang hanya ditandatangani Ismail beberapa bulan selepas tarikh berkenaan.
Beliau sebelum ini membangkitkan persoalan sama ada tindakan tersebut boleh dianggap sebagai membelakangkan tarikh sebenar tandatangan dokumen, selain mengakui tidak pasti mengenai kedudukan undang-undang berhubung perkara itu.
Namun, barisan peguam berkenaan menegaskan bahawa proklamasi itu tetap sah walaupun terdapat dakwaan bahawa Menteri Besar terdahulu dipaksa menandatanganinya dan dokumen berkenaan tidak mempunyai kesahan undang-undang.
Mereka turut berhujah bahawa tandatangan Menteri Besar merupakan sebahagian daripada proses bagi melengkapkan instrumen berkaitan pelucutan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Ismail pada peringkat awal dilaporkan menafikan kesahan proklamasi berkenaan, namun kemudiannya menyokong kenyataan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang didakwa mengesahkan penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Bagaimanapun, pendirian itu berdepan percanggahan dengan Jabatan Peguam Negara dan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) yang menegaskan bahawa kenyataan 10 EXCO berkenaan tidak mempunyai sebarang kesan di sisi undang-undang.










