Akmal Sindir KPM Tarik Syarat Ekuiti Bumiputera 30 Peratus

KUALA LUMPUR: Keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) menarik balik syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi syarikat sendirian berhad yang mengendalikan institusi pendidikan swasta (IPS) tertentu mengundang kritikan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh.

Secara sinis, Muhammad Akmal mengucapkan tahniah kepada kerajaan Madani susulan keputusan berkenaan yang dibuat selepas perbincangan antara KPM dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Kita sibuk berpecah, kerja mereka tetap berjalan, tahniah Madani,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.

Semalam, KPM memaklumkan syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera yang sebelum ini dinyatakan dalam Buku Pernyataan Dasar IPS terbitan 2006 tidak lagi ditetapkan sebagai syarat bagi syarikat sendirian berhad yang mengendalikan IPS di bawah kementerian itu.

Menurut KPM, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira keperluan semasa sektor pendidikan serta hasil penyelarasan bersama MITI.

Kementerian itu berkata langkah berkenaan bertujuan memastikan ruang penyertaan dalam sektor pendidikan kekal terbuka kepada semua pihak yang mahu menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara.

Dalam pada itu, KPM menegaskan pihaknya menghargai sumbangan semua pengusaha IPS dan akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan kepentingan pendidikan anak-anak Malaysia terus diberi keutamaan.

BBerkaitan

Latest articles