Jabatan Penjara Nafi Wujud Sistem Kasta Dalam Kalangan Banduan

KOTA BHARU: Jabatan Penjara menegaskan dakwaan wujud sistem kasta dalam kalangan banduan yang ditentukan berdasarkan wang dan pengaruh adalah tidak benar serta tidak menggambarkan pengurusan kehidupan di dalam penjara.

Pengarah Kanan Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara, Mohamad Rosidek Musa, berkata pihaknya mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan khusus bagi membendung sebarang salah laku atau kegiatan negatif dalam kalangan penghuni penjara.

Katanya, meskipun tidak menafikan kemungkinan berlaku perkara negatif, keadaan itu tidak berlaku seperti yang didakwa penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman, dalam sebuah podcast baru-baru ini.

“Dakwaan itu tidak benar kerana dalam konteks kepenjaraan, kita fokus kepada program pemulihan dan cuba mengatasi perkara-perkara negatif yang berlaku di penjara.

“Kita ada SOP dan peraturan untuk mengekang perkara yang negatif dan tidak baik. Kita akui ada perkara mungkin berlaku, tetapi tidak seperti yang dinyatakan,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas majlis penutup Program Bookathon Jabatan Penjara dengan kerjasama Boustead Holdings Berhad, Royale Chulan Damansara dan Syarikat Muda Osman (SMO) Bookstores di Blok Wanita Penjara Pengkalan Chepa, hari ini.

Yasin sebelum ini mendakwa kehidupan dalam penjara banyak dipengaruhi faktor kewangan dan pengaruh, termasuk kewujudan hierarki atau sistem kasta dalam kalangan banduan.

Mengulas perkara itu, Mohamad Rosidek berkata beliau tidak mengetahui motif Yasin membuat dakwaan berkenaan, namun mengakui perhatian terhadap bekas penghuni penjara yang mempunyai profil dikenali mudah mendapat tumpuan di media sosial.

Menurutnya, perhatian lebih wajar diberikan kepada kisah kejayaan bekas banduan yang mampu membina semula kehidupan selepas dibebaskan, berbanding menonjolkan perkara negatif.

“Dia (Yasin) baru keluar (penjara), jadi media sosial sedang fokus kepadanya. Pada saya, ramai yang bebas dari penjara sudah berjaya.

“Kenapa kita nak fokus perkara negatif? Kita fokus kepada apa yang pihak penjara berjaya buat,” katanya.

Mohamad Rosidek berkata Jabatan Penjara sentiasa mengambil tindakan terhadap sebarang salah laku yang berlaku dan berusaha memastikan proses pemulihan penghuni berjalan seperti ditetapkan.

Katanya, reaksi orang ramai terhadap dakwaan berkenaan di media sosial juga menunjukkan terdapat pandangan positif dan negatif, namun kejayaan proses pemulihan tidak seharusnya diketepikan.

Yasin sebelum ini pernah berdepan tiga pertuduhan berkaitan dadah, namun Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada November 2023 melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan berkenaan sebelum memerintahkan beliau ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

BBerkaitan

Latest articles