Pemecatan Exco Negeri Sembilan Tanpa Nasihat MB Tidak Berpelembagaan – Chegubard

SEREMBAN: Tindakan membatalkan pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang diumumkan semalam, disifatkan sebagai khilaf dan tidak berpelembagaan sekiranya dilaksanakan tanpa mendapat nasihat daripada Menteri Besar.

Pengarah Pilihan Raya Parti Wawasan Negara Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin, atau lebih dikenali sebagai Chegubard, menegaskan bahawa asas kuasa pentadbiran Raja di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang jelas.

Mengulas lanjut laporan dan hantaran keratan perlembagaan berkaitan kemelut tersebut, beliau merujuk kepada peruntukan Bahagian Kedua UUTKNS yang menetapkan bahawa kuasa Raja dalam hal pentadbiran dijalankan atas nasihat Menteri Besar dan barisan Exco.

Menurutnya, kuasa Raja di bawah Perkara 38(5) UUTKNS perlu dibaca secara bersama dan selari dengan Perkara 38(4).

“Kuasa Raja memperkenankan tempoh perjawatan EXCO dalam Perkara 38(5) UUTKNS ni adalah hanya terpakai sekiranya Menteri Besar telah kehilangan sokongan majoriti (undi tak percaya), atau berhenti sebagaimana dinyatakan dalam Perkara 38(4),” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau menjelaskan lagi bahawa jika keadaan yang termaktub dalam Perkara 38(4) itu tidak berlaku, maka pihak Raja tidak boleh menjalankan kuasa sepertimana yang terkandung di dalam Perkara 38(5).
Katanya lagi, selagi kedudukan Menteri Besar kekal berkhidmat, penentuan kedudukan Exco adalah diletakkan di bawah nasihat Menteri Besar.

“Dalam keadaan MB masih ada, kedudukan EXCO adalah ditentukan atas nasihat MB.

“Maka pemecatan EXCO tersebut jika dibuat tanpa nasihat MB, maka secara undang-undangnya adalah khilaf dan tidak berpelembagaan serta tiada kuatkuasa,” ujarnya.

Mengulas mengenai konsep kenegaraan, beliau turut mengingatkan bahawa kedudukan Raja di negara ini adalah sebagai Raja Berpelembagaan dan bukannya sistem pemerintahan monarki mutlak, terutamanya di Negeri Sembilan yang mengamalkan corak monarki demokrasi di mana institusi Raja dipilih dan bukan diwarisi.

Sehubungan itu, beliau turut membangkitkan persoalan mengenai situasi selepas keputusan Pilihan Raya Negeri lalu bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai proses pembentukan kerajaan negeri.

BBerkaitan

Latest articles