SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menegaskan bahawa sebarang tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang dibuat tanpa nasihat atau permintaan daripada Menteri Besar merupakan satu kekhilafan dari sudut perundangan, tidak berperlembagaan, serta tidak mempunyai sebarang kuat kuasa undang-undang.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menjelaskan bahawa sistem pentadbiran negeri ini ditegakkan di atas prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, di mana kuasa kedaulatan Raja dalam hal pentadbiran negeri hendaklah dijalankan atas nasihat Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berdasarkan Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Beliau mengulas lanjut mengenai implikasi perundangan yang merangkumi prinsip kuasa atas nasihat di bawah Perkara 40(1) UUTKNS 1959, yang menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan hendaklah bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri Besar dalam menjalankan fungsi pentadbiran eksekutif.
Menurut beliau lagi, had kuasa budi bicara yang diberikan kepada Raja dalam hal pentadbiran hanya merangkumi perkara-perkara yang dinyatakan secara bertulis di bawah Perkara 40(2) UUTKNS 1959, manakala kuasa untuk memberhentikan atau menamatkan tempoh jawatan EXCO secara bersendirian tidak termaktub dalam institusi budi bicara tersebut.
Menjelaskan tentang keterikatan Perkara 38(5) UUTKNS 1959 dengan nasihat Menteri Besar, beliau menegaskan bahawa kuasa Raja untuk memperkenankan tempoh perjawatan seseorang EXCO tidak boleh dibaca secara berasingan, sebaliknya wajib dibaca bersama Perkara 38(4) dan Perkara 40(1).
“Ini bermakna, sebarang penamatan atau perubahan kedudukan barisan EXCO semasa pentadbiran berjalan hanya boleh berkuat kuasa atas nasihat atau permintaan rasmi daripada Menteri Besar,” tegas beliau dalam kenyataan pada Isnin.
Mengulas mengenai situasi semasa, Ismail menegaskan bahawa beliau tidak pernah dirujuk atau pada bila-bila masa menasihati mengenai pemberhentian mana-mana EXCO Kerajaan Negeri Sembilan menurut Perkara 38(5) UUTKNS.
“Dengan itu tidak ada keperluan mengemukakan senarai EXCO yang baru kerana EXCO yang sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa,” ujar beliau.
Kerajaan Negeri Sembilan berikrar akan terus mempertahankan keluhuran perlembagaan demi memastikan kestabilan pentadbiran dan mandat rakyat sentiasa dipelihara berlandaskan lunas undang-undang yang sah.










