Pelantikan Exco: Kuasa Raja Tidak Boleh Diguna Tanpa Nasihat MB – Peguam

KUALA LUMPUR: Kuasa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dalam urusan pentadbiran negeri tidak boleh digunakan secara bebas tanpa mengambil kira nasihat Menteri Besar (MB), termasuk dalam soal pembatalan pelantikan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Peguam yang mewakili pihak Undang Yang Empat, Tuanku Nadzaruddin Tuanku Jaafar dan Tunku Besar Tampin, Emirul Sarifudin Nor Azmi, berkata kedudukan itu jelas berdasarkan tafsiran bersama beberapa peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).

Menurutnya, Perkara 38(5) berkaitan tempoh perjawatan Exco tidak boleh ditafsirkan secara berasingan, sebaliknya perlu dibaca bersama Perkara 38(4), 40(1) dan 40(2).

“Secara asasnya, kuasa Raja dalam hal pentadbiran di bawah Bahagian Kedua UUTKNS adalah kuasa atas nasihat MB dan Exco,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Perkara 38(4) turut perlu diambil kira kerana ia memperuntukkan keadaan apabila MB tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), yang menyebabkan MB perlu mengemukakan peletakan jawatan bersama barisan Exco, kecuali jika Dewan dibubarkan atas permintaannya.

Katanya, kuasa Raja untuk memperkenankan tempoh perjawatan Exco di bawah Perkara 38(5) hanya boleh dilaksanakan atas nasihat atau permintaan MB selagi MB masih mendapat sokongan majoriti dan tidak meletakkan jawatan.

“Jika keadaan seperti diperuntukkan dalam Perkara 38(4) berlaku, Raja tidak boleh menggunakan Perkara 38(5) kerana kedudukan Exco turut terhenti bersama-sama jawatan MB.

“Selagi MB kekal, kedudukan Exco ditentukan atas nasihat MB, selaras dengan Perkara 40(1),” katanya.

Emirul turut menegaskan bahawa ruang kuasa budi bicara Raja dalam urusan eksekutif adalah terhad kepada perkara yang dinyatakan di bawah Perkara 40(2).

Sehubungan itu, beliau berpandangan pembatalan pelantikan Exco tanpa nasihat MB tidak termasuk dalam ruang kuasa budi bicara berkenaan.

“Jika pemecatan Exco dibuat tanpa nasihat MB, ia secara undang-undang adalah khilaf, tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai kuat kuasa,” katanya.

Pertikaian itu timbul selepas Tuanku Muhriz pada malam tadi mengumumkan pembatalan pelantikan barisan Exco Negeri Sembilan berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas baginda mendapati semua Exco berkenaan telah memungkiri sumpah jawatan.

Kenyataan itu turut memetik Perkara XXXVIII(5) UUTKNS yang menyatakan seseorang Exco memegang jawatan selagi diperkenankan Yang di-Pertuan Besar.

Semua Exco terbabit sebelum ini mengangkat sumpah serta menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lalu sebelum dilantik menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.

BBerkaitan

Latest articles