KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengambil tindakan segera dengan menghentikan lawatan rasmi ke luar negara bagi menangani kemelut pentadbiran yang didakwa berlaku di Negeri Sembilan ketika ini.
Menurut beliau, situasi di negeri itu sudah sampai ke tahap kritikal yang memerlukan perhatian serius demi memastikan kelangsungan urusan pentadbiran kerajaan negeri tidak terus lumpuh.
“Pentadbiran negeri mesti diteruskan. Pembayaran mesti dibuat dan kontrak baharu mesti ditandatangani,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook pada Isnin.
Zaid berpandangan bahawa apabila sesebuah negeri berdepan situasi ketiadaan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) serta timbul kekeliruan mengenai pihak yang sah bergelar pemerintah, satu perbincangan peringkat tertinggi harus diadakan segera.
Beliau mencadangkan agar Anwar bersama Majlis Raja-Raja duduk bersama bagi mencari formula penyelesaian yang harmoni.
“Dapatkan pihak-pihak berkepentingan untuk merujuk isu ini kepada Mahkamah Persekutuan dan minta panel penuh mahkamah memutuskan segala persoalan besar yang timbul,” jelasnya.
Antara persoalan penting yang ditekankan untuk diputuskan oleh mahkamah termasuklah kesahihan penyingkiran Tuanku Mukhriz, sama ada pemecatan Exco sah di sisi undang-undang.
“Siapakah Undang yang sah dipilih mengikut lunas perlembagaan,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, satu-satunya cara untuk mencapai penyelesaian muktamad adalah melalui persetujuan pihak-pihak terlibat untuk membuat rujukan bersama ke mahkamah serta akur dengan apa juga keputusan yang ditetapkan kelak.
Walau bagaimanapun, Zaid memberi cadangan lain bahawa sekiranya usaha tersebut menemui jalan buntu, langkah drastik perlu dipertimbangkan demi membela nasib rakyat di negeri berkenaan.
“Jika gagal, terdapat keperluan untuk mengisytiharkan Darurat di Negeri Sembilan. Perlembagaan mesti digantung supaya rakyat tidak terus menderita,” ujarnya.










