KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan beliau menjadi pihak yang ‘membuka jalan’ kepada pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sebaliknya, Anwar menegaskan setiap banduan mempunyai hak untuk mengemukakan permohonan pengampunan bagi dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan, tanpa mengira siapa individu berkenaan.
Beliau berkata, Lembaga Pengampunan mempunyai bidang kuasa untuk menilai sesuatu permohonan, dengan pandangan Perdana Menteri dan Peguam Negara di peringkat Kerajaan Persekutuan, manakala keputusan akhir terletak pada Yang di-Pertuan Agong.
“Saya sebut setiap banduan berhak mengemukakan (rayuan) dan saya tetap pertahan hak itu kepada sesiapa pun termasuk Najib, ada hak untuk mengemukakan rayuannya untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Agong.
“Mereka yang ada dalam kerajaan tahu pendirian saya daripada awal. Kalau nak menang undi pun bukan dengan cara menipu. (Mereka) kata sayalah yang membuka jalan, tidak betul,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis di Selangor International Trade Centre (SITC), hari ini.
Menurutnya, kuasa berkaitan pengampunan dan penganugerahan pingat merupakan bidang kuasa serta budi bicara Raja atau Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan Perlembagaan.
Beliau turut menjelaskan bahawa pandangan yang pernah disuarakannya mengenai isu pengampunan Najib bukan bertujuan mempengaruhi keputusan Lembaga Pengampunan.
Sebaliknya, katanya, pandangan itu turut mengambil kira implikasi terhadap kes-kes lain yang masih berjalan, jumlah denda yang besar, keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan serta persepsi antarabangsa.
Pada masa sama, Anwar menegaskan pengampunan bersyarat terhadap Najib tidak bermakna proses undang-undang bagi kes lain yang masih berjalan akan terhenti.
Kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan tindakan sivil terhadap bekas Perdana Menteri itu, katanya, akan terus tertakluk kepada proses perundangan.
Anwar turut menegaskan kerajaan MADANI kekal dengan pendirian untuk memerangi rasuah dan memastikan sebarang dakwaan salah guna kuasa disiasat serta dibawa melalui proses undang-undang.
Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib, membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
BHEUU Jabatan Perdana Menteri memaklumkan keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Penjara Malaysia hari ini memaklumkan pihaknya masih menunggu arahan dan dokumen rasmi sebelum melaksanakan keputusan tersebut mengikut undang-undang serta prosedur yang berkuat kuasa.










