MELAKA: Hantaran video Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meraikan ulang tahun kelahiran Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang ke-65 mencuri tumpuan warga maya.
Anwar memaklumkan bahawa beliau sempat menyambut hari lahir pemimpin negeri itu sejurus tiba di Melaka bagi menghadiri sebuah acara kebudayaan Cina.
Bagaimanapun, apa yang lebih menghangatkan ruangan komen hantaran tersebut adalah usikan netizen yang tidak lepaskan peluang ‘memicit’ dan menyakat nama Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh.
Antara komen yang menjadi bualan hangat warga maya termasuklah pengguna akaun Encik Abid Zaini yang menyatakan, “Akmal saleh is shaking”.
Turut mencuri tumpuan adalah beberapa reaksi lucu daripada pengguna lain seperti, “Harap video ni tak sampai ke pengetahuan Dr Akmal Salleh…” serta “Akmal tak tahan lah ni”, yang mengaitkan suasana mesra itu dengan senario politik semasa.
Di sebalik usikan jenaka dan pelbagai andaian netizen, ramai juga pengikut media sosial yang mengambil kesempatan memuji semangat persahabatan serta sikap berjiwa besar pimpinan negara dalam meraikan perbezaan fahaman demi keharmonian bersama.










