Anwar Akan Temui Loke, Bincang Keputusan Letak Jawatan

SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka bertemu Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sebaik Menteri Pengangkutan itu kembali dari Shanghai, China bagi membincangkan keputusan beliau untuk meletakkan jawatan daripada Kabinet.

Anwar berkata, pertemuan itu penting bagi membolehkan beliau mendengar sendiri penjelasan dan pendirian Anthony susulan keputusan Lembaga Pengampunan berhubung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Saya belum sempat berbincang apa pun lagi, kena dengar pandangan dia, kena faham.

“Sebab dia adalah seorang yang ada prinsip dan dia memang daripada awal bantah peraturan yang memberi gambaran seolah-olah kita ini lemah atau longgar terhadap amalan rasuah terutama apabila kita mengambil tindakan lain yang banyak termasuk perasuah-perasuah kecil.

“Jadi, lebih baiklah kita jumpa dia, dengar pandangan dia dan juga saya boleh beri keputusan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan buku pada Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis di Selangor International Trade Centre (SITC), hari ini.

Anwar berkata, Anthony sebelum ini sudah memaklumkan kepadanya mengenai keputusan berkenaan, namun surat rasmi peletakan jawatan masih belum diterima.

“Anthony baru bermesyuarat semalam, dia ada maklum kepada saya dan akan bawa surat dan berbincang dengan saya,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan rombakan Kabinet susulan keputusan berkenaan, Anwar menjawab ringkas: “Satu-satulah.”

Semalam, Anthony mengumumkan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan selepas mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang berlangsung hampir tiga jam.

Keputusan itu dibuat sebagai reaksi DAP terhadap keputusan Lembaga Pengampunan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib, yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah tertakluk kepada syarat ditetapkan.

Bagaimanapun, Anthony menegaskan peletakan jawatan itu hanya melibatkan dirinya, manakala menteri dan timbalan menteri daripada DAP akan terus berada dalam kerajaan bagi memastikan kestabilan politik tidak terjejas.

BBerkaitan

Latest articles