KUALA LUMPUR: Keprihatinan orang ramai yang tidak putus-putus bertanyakan keadaan Datuk Seri Najib Tun Razak selepas keputusan tahanan rumah bersyarat mendapat perhatian anaknya, Nooryana Najwa Najib.
Nooryana Najwa atau lebih mesra dikenali sebagai Yana berkata, beliau memahami pertanyaan mengenai sama ada bapanya sudah pulang ke rumah datang daripada rasa sayang dan keprihatinan orang ramai terhadap bekas Perdana Menteri itu.
“Semua yang care for Bossku tentunya mahu melihat beliau kembali ke rumah bersama keluarga.
“Buat masa ini, belum,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Yana, keputusan Lembaga Pengampunan menetapkan tahanan rumah itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta terlebih dahulu dan keluarganya menghormati sepenuhnya keputusan berkenaan.
Katanya, sekiranya jumlah RM50 juta itu berjaya dikumpulkan menerusi sumbangan sukarela Tabung Solidariti DSN, segala urusan pembayaran dan proses seterusnya akan dibuat melalui saluran rasmi.
Beliau berkata, bayaran denda perlu dibuat kepada mahkamah terlebih dahulu bagi membolehkan resit pembayaran dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak penjara.
“Barulah pihak penjara boleh mengeluarkan ‘release order’ (arahan pelepasan) untuk proses tahanan rumah,” katanya.
Dalam pada itu, Yana turut menzahirkan penghargaan kepada UMNO yang menerajui Tabung Solidariti DSN, selain berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan dan membantu keluarganya.
Bagaimanapun, katanya, Najib tidak pernah mahu menyusahkan parti atau rakyat, malah setiap sumbangan yang diberikan adalah secara sukarela dan mengikut kemampuan masing-masing tanpa sebarang paksaan atau kewajipan.
Yana berkata, ketika keluarganya melawat Najib semalam, bapanya beberapa kali menyatakan rasa tersentuh melihat kesediaan orang ramai untuk menyumbang.
“Daddy betul-betul tak sangka begitu ramai yang sanggup menyumbang. I would never force it on anyone.
“Terima kasih sekali lagi atas setiap doa, sumbangan dan kebaikan. It truly means more than you know,” katanya.










